Home Pendapat Hospital semakin tenat, jangan tambah Kluster Raya Haji

Hospital semakin tenat, jangan tambah Kluster Raya Haji

Sebahagian pesakit Covid-19 yang dirawat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2021.

JUMLAH jangkitan COVID 19 seharian bertambah secara mendadak. Negeri Selangor
pemegang negeri yang tertinggi menyumbangkan kes COVID 19 melonjak tanpa kawalan.
Saringan aktif masih dijalankan untuk kontak rapat kes positif bagi mengawal pergerakan dan memastikan mereka yang terlibat menjalankan kuarantin mengikut SOP yang ditetapkan.

Kalau dulu semua kes positif covid ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, namun dengan
limpahan pesakit yang mendadak selepas hari raya aidilfitri yang lalu, satu hospital sudah
tidak mampu menampung semua kes yang ada. Boleh dikatakan semua hospital di Lembah Klang sudah tenat dan petugas barisan hadapan telah bekerja melangkau kapasiti yang ada.

Jika dahulu, pesakit kategori 4 dan 5 tidak seramai sekarang, kini pesakit kategori ini
yang memerlukan rawatan rapi sudah melimpah keluar dari ICU. Ramai yang terpaksa
dirawat di luar ICU dengan ventilator mudah alih. Malah keadaan menjadi semakin genting apabila doktor sentiasa terpaksa memilih pesakit yang mana yang hendak dimasukkan ke ICU atau mendapat bantuan pernafasan. Dengan peningkatan pesakit-pesakit muda yang berada di kategori 4 dan 5, mereka inilah yang akan diberi keutamaan.

Bayangkan apa yang akan berlaku kepada pesakit COVID 19 kategori 4 dan 5 yang bukan lagi muda? Bahagian kecemasan hospital juga sudah tidak mampu menampung limpahan pesakit. Terlalu ramai yang datang dan terpaksa menunggu lama sebelum dapat dimasukkan ke dalam wad yang memang sudah sedia penuh. Akhirnya bahagian kecemasan jadi seperti wad dan pesakit-pesakit baru terpaksa diperiksa di khemah atau sudut lain yang bersesuaian.

Bilik mayat juga penuh dan melimpah ruah kerana terlalu banyak kematian setiap hari.
Pesakit -pesakit dari disiplin lain juga terpalit sama. Banyak wad-wad telah bertukar menjadi wad Covid dan pesakit-pesakit lain harus dipindahkan. Prosedur-prosedur yang dirancang ditangguhkan kerana ketiadaan katil dan tiada ICU yang kosong. Itupun katil-katil tambahan iaitu katil canvas telah dibuka dan memenuhi ruang yang ada.

Bukan sahaja hospital, Pusat kuarantin berisiko rendah dan Covid Assessment Centre juga
dilimpahi oleh ramai orang hingga melebihi kapasiti yang ada. Ada beberapa hospital swasta yang sudah mula merawat pesakit-pesakit covid juga penuh dan ICUnya yang terhad juga penuh.

Laporan jangkitan COVID 19 menunjukkan bahawa kluster yang terlibat bukan sahaja
kluster kilang tetapi juga kluster kedai dan kluster dari perumahan. Ini menunjukkan semua peringkat masih gagal mematuhi SOP. Sudah hampir 2 tahun kita berada di pandemik ini, tetapi masih ramai yang tidak faham atau buat-buat tidak faham. Walaupun pemberian vaksin sedang dipertingkatkan dengan pembukaan pusat pemberian mega dan kecil-kecilan, SOP masih perlu dijaga. Seseorang yang sudah mendapat vaksin, masih boleh dijangkiti COVID 19 dan menjangkiti orang lain walaupun kesan jangkitan lebih ringan dan kadar jangkitan lebih rendah.

Oleh itu petugas barisan hadapan masih mematuhi SOP yang ketat walaupun mereka semua telah lengkap divaksin. Ini bukanlah masa yang sesuai untuk kita jatuh sakit. Maka setiap orang patut betul-betul menjaga diri masing-masing daripada apa sahaja jenis penyakit, bukan sahaja jangkitan COVID 19.

Elakkan kemalangan jalanraya atau apa sahaja bentuk kemalangan yang memerlukan kemasukan ke hospital. Pesakit-pesakit kronik pula kena menjaga diri dengan
mengambil ubat dan menjaga pemakanan supaya tidak perlu masuk ke dalam hospital kerana darah tinggi atau kencing manis yang tidak terkawal.

Mengikut pengalaman lepas, musim perayaan akan menjadi pemangkin peningkatan
jangkitan kes. Masih ada yang tidak boleh meninggalkan amalan berziarah, berkumpul
beramai-ramai untuk jamuan makan dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Masih ada
yang mencari jalan -jalan tikus untuk merentas daerah dan pulang ke kampung masing-
masing. Pergi ke masjid untuk solat hari raya tanpa mematuhi SOP ataupun melanggarnya apabila selesai solat dan berbual-bual di luar masjid.

Natijahnya bukan hanya kepada anda tetapi juga kepada petugas barisan hadapan yang sudah kehabisan tenaga dan hospital-hospital yang semakin sesak. Ini masanya untuk kita berkorban dengan meninggalkan dahulu amalan-amalan kita yang tidak sesuai dengan suasana pandemik COVID 19 ini. Kitalah sendiri yang patut menjaga diri
masing-masing dan tidak bersikap mementingkan diri.

Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Rad Ayat 11 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah
tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa
yang pada diri mereka”. Apa yang berlaku sebenarnya berpunca daripada kelalaian manusia itu sendiri. Allah menurunkan wabak COVID 19 ini sebagai peringatan kepada manusia agar kembali kepada Nya. Allah juga tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, sehingga kaum itu sendiri yang berusaha mengubahkan menjadi lebih baik. Marilah kita sama sama menginsafi diri dan bertaubat, sama sama menjaga SOP, sama sama berganding bahu dan bersatu hati sebagai satu negara yang membangun tanpa mengira bangsa, agama dan parti politik. Kita lah yang akan sama sama menyelamatkan negara kita dalam menghadapi musibah yang berat ini. Kita jaga kita!!Wallahualam.

Ms Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur &

Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)