KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,000 bakul makanan diagihkan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kepada semua surau dan masjid di Parlimen Titiwangsa, hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, agihan bakul makanan itu bagi membantu masjid dan surau untuk melaksanakan gerobok rezeki masing-masing.
“Hari ini kita edarkan 3,000 pek makanan melalui masjid dan surau, semua masjid dan surau dalam Parlimen Titiwangsa. Dalam tinjauan saya ke semua masjid dan surau, kita dapati setiap masjid ada gerobok rezeki sendiri.
“Insya-Allah kita bantu juga untuk menambah keperluan di dalam gerobok rezeki, sekaligus kita dapat menyemarakkan lagi usaha kita bantu kita,” katanya kepada pemberita di Masjid Jamek Alam Shah, Jalan Pasar, hari ini.
Terdahulu beliau menyerahkan 3,000 bakul makanan bermula dari Masjid Nurul Islam, Desa Pahlawan, Jalan Ampang.
Kemudian disusuli dengan pemberian bakul makanan di Madrasah Kampung Pandan; Masjid Al-Imam Ash-Shafie, Taman Maluri; Surau Nur Abbas Al Habshee dan terakhir di Masjid Jamek Alam Shah.
Selain itu, katanya sebanyak 5,000 Bakul Prihatin Titiwangsa telah diagihkan sebelum ini dalam tempoh sebulan
“Bakul Prihatin Titiwangsa masih lagi dibuka permohonannya dan dibuat secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Sementara itu, dalam memastikan orang ramai daripada tercicir mendapat bantuan, pihaknya setakat ini telah menyalurkan hampir 1.4 juta bakul makan kepada penduduk terjejas.
“Kita salurkan peruntukan kepada semua ahli Parlimen tak kira pembangkang atau pun kerajaan, semua dapat RM300,000 mulai Julai.
“Kita juga ada Bakul Prihatin Negara yang boleh dimohon dari Jabatan Kebajikan Masyarakat di daerah masing-masing malah ia juga boleh dimohon melalui Talian Kasih, bilik gerakan kita dan sebagainya supaya tiada yang tercicir,” katanya lagi. – MalaysiaGazette