Home Nasional Mahkamah arah timbalan pengarah SKMM bela diri tuduhan rasuah

Mahkamah arah timbalan pengarah SKMM bela diri tuduhan rasuah

Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E Dagang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdepan tiga tuduhan menerima rasuah RM87,000 dan telah diarahkan untuk membela diri.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E Dagang, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdepan tiga tuduhan menerima rasuah RM87,000 dan telah diarahkan untuk membela diri.

Tertuduh, Mohd Iskandar King sebelum ini mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan ekoran tuduhan rasuah berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob hari ini memutuskan tertuduh perlu membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Iskandar.

Rozina menetapkan 27 sehingga 29 Julai bagi Mohd Iskandar membela diri.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Iskandar didakwa menerima suapan wang tunai RM50,000 daripada Pengarah Syarikat Golden Sunrise Ventures Sdn Bhd dan pakar runding bagi Syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd, Mohd Azuzi Mohamed Kamil.

Ia sebagai upah untuk tertuduh yang membantu mendapatkan projek Universal Service Provider (USP) Time 3 Extension Phase 1 daripada suruhanjaya itu bagi syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di IOI City Mall, Putrajaya pukul 8 malam, 9 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sakit kesalahan dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Iskandar didakwa menerima dua cek, masing-masing bernilai RM18,500 atas nama isterinya, Nur Ellina Abdul Sukor dan atas namanya sendiri daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di Bukit Jalil Golf and Country Resort, pukul 5 petang pada 23 Jun 2015.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan satu pertuduhan pilihan iaitu menerima wang tunai RM50,000 daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui bahawa Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya di sebuah restoran di IOI City Mall, Putrajaya pukul 8 malam, 9 Januari lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai 31 saksi pendakwaan memberi keterangan mereka terhadap Mohd Iskandar.

Peguam Sivahnanthan Ragava dan Haziq Abdullah Abdul Aziz mewakili tertuduh manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria, Francine Cheryl Rajendram dan Abdul Muntaqim Abdul Aziz mengendalikan pendakwaan. – MalaysiaGazette