Home Nasional MPS kompaun pemilik pasar raya biak aedes

MPS kompaun pemilik pasar raya biak aedes

Penguatkuasa MPS memeriksa jentik-jentik ketika melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Sri Gombak, Batu Caves, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenakan kompaun RM1,500 terhadap pemilik sebuah pasar raya di Sri Gombak, Batu Caves kerana membiarkan persekitaran premis menjadi tempat pembiakan aedes.

Pengarah Jabatan Korporat MPS menerusi kenyataan Mohd Zin Masoad berkata, dalam operasi pada 15 Julai lalu, premis terbabit turut diarah menghentikan operasi selama dua minggu atas kesalahan berkenaan.

Menurutnya, pemilik dikenakan satu notis kacau ganggu sebanyak RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPS) 2007 Seksyen 27(2) dan kompaun RM500 di bawah Seksyen 34(1).

“Penguatkuasa juga mendapati premis berkenaan tidak mematuhi tahap kebersihan yang digariskan sehingga terdapat tempat pembiakan tikus di kawasan penyimpanan dan penyusunan barang,” katanya.

Justeru, Mohd Zin mengingatkan pemilik premis dan masyarakat di seluruh pentadbiran Selayang agar tidak leka dan menjaga kebersihan persekitaran dengan mengamalkan langkah 10 minit bagi menghapus tempat pembiakan aedes. – MalaysiaGazette