Home Nasional Sindiket pinjaman tidak wujud tumpas, kerugian berjumlah RM3 juta

Sindiket pinjaman tidak wujud tumpas, kerugian berjumlah RM3 juta

Mohd Rosni (kanan) menunjukkan sebahagian rampasan daripada sindiket pinjaman tidak wujud dalam serbuan di Batu Feringghi.

GEORGE TOWN – Seramai 18 individu termasuk seorang remaja bawah umur dipercayai terlibat dalam sindiket pinjaman wang tidak wujud atas talian yang mengakibatkan kerugian RM3 juta ditahan polis dalam dua serbuan pada Khamis lalu.

Mereka yang terdiri daripada 15 lelaki serta tiga wanita berusia lingkungan 16 hingga 23 tahun itu ditahan di dua buah kediaman di Jalan Sungai Emas Satu dan Solok Sungai Emas, Batu Feringghi di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Pulau Pinang Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut menjalankan kegiatan haram mereka secara berpindah-randah dengan menyewa kediaman di negeri ini untuk dijadikan pusat operasi.

Mohd Rosni.

Kata beliau, sindiket itu menawarkan pinjaman wang kepada mangsa menerusi media sosial Facebook dan Instagram sebelum diminta mengisi maklumat peribadi serta jumlah pinjaman dipohon menerusi pautan yang diberikan.

Jelas Mohd Rosni, mangsa akan dihubungi ahli sindiket menerusi telefon dan diminta membuat pelbagai bayaran wang proses sebelum pinjaman itu diluluskan.

“Hasil siasatan mendapati ahli sindiket akan memberi pelbagai alasan yang meyakinkan mangsa bagi membuat bayaran wang proses namun apabila pembayaran sudah dibuat, panggilan daripada mangsa akan disekat.

Mohd Rosni (kiri) menunjukkan kad ATM yang dirampas dalam milikan sindiket tersebut.

“Kesemua suspek mengaku terbabit dengan kegiatan penipuan pinjaman tidak wujud secara atas talian dengan berperanan sebagai operator panggilan.

“Hasil soal siasat rata-rata suspek menerima bayaran sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 sebulan sebagai operator sindiket dan salah seorang daripada mereka yang menyewa rumah berkenaan dengan bayaran sebanyak RM3,500 sebulan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Turut dirampas dalam dua serbuan itu, 44 telefon bimbit pelbagai jenama, puluhan kad juruwang automatik (ATM) dan beberapa komputer riba yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mereka.

Telefon bimbit paling banyak dirampas dalam milikan sindiket pinjaman tidak wujud itu.

Tambah Mohd Rosni, sindiket ini dikatakan sudah beroperasi sejak enam bulan lalu selain mampu mengaut keuntungan RM300,000 hingga RM500,000 sebulan.

Kata beliau, selain itu, semakan ke atas nombor telefon bimbit yang digunakan ahli sindiket mendapati nombor berkenaan terbabit dengan 21 kes yang dilaporkan di 12 negeri kecuali Melaka dan Perlis.

“Salah seorang daripada tangkapan merupakan ketua kepada sindiket di Pulau Pinang dan kita tidak menolak kemungkinan sindiket ini mempunyai rangkaian besar dalam negara.

“Usaha mengesan mereka yang terlibat dalam sindiket ini giat dijalankan dan kita minta orang ramai yang menjadi mangsa penipuan ini tampil membuat laporan agar siasatan lanjut dapat dijalankan,” ujar Mohd Rosni.

Kesemua suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mengikut Peraturan 5(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – MalaysiaGazette