PUTRAJAYA – Gara-gara tujuh petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) positif Covid-19 menyebabkan pusat itu disanitasi serta merta.
Justeru, PPV berkenaan memakumkan segera perkara berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan sewajarnya selepas kes positif itu dikesan sejak 11 Julai lalu.
Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan terkini berkata, senarai kontak rapat daripada tujuh kes positif itu berjaya dikenal pasti dan diminta untuk menjalani ujian saringan.
Kesemua mereka yang selesai disaring diarahkan menjalani proses kuarantin kendiri sementara menunggu keputusan ujian saringan itu.
“Keputusan hasil ujian saringan pula mendapati kesemua 11 kontak rapat adalah negatif dan oleh kerana maklumat kes positif adalah sulit dan peribadi, hanya pegawai perubatan yang bertauliah sahaja dibenarkan memiliki maklumat tersebut.
“Pada masa yang sama, SCCC tidak melarang mana-mana petugas lain untuk menjalani ujian saringan.
“Selain itu, kawasan yang dikenal pasti terlibat di PPV tersebut juga telah disanitasi segera oleh pengurusan SCCC yang mempunyai keupayaan berkenaan,” kata CITF dalam kenyataan itu yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.
CITF juga mengulas mengenai dakwaan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas PPV SCCC yang menerima kehadiran ribuan penerima vaksin berjadual setiap hari.
Jelasnya, seramai 230,000 orang telah divaksin setakat ini sejak PPV berkenaan dibuka untuk kemudahan vaksinasi kebangsaan bermula 7 Jun sehingga 17 Julai lalu.
Tegasnya, untuk makluman semua sejak awal lagi CUTF mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) di semua PPV termasuklah di PPV SCCC.
“Antara SOP tersebut adalah pengurusan PPV SCCC perlu memastikan arahan dan peraturan dalam Program Kawalan Risiko COVID-19 dipatuhi seperti penjarakan fizikal serta memantau petugas dan sukarelawan terlibat secara berterusan jika terdapat gejala.
“Para petugas PPV SCCC juga dikehendaki menjalani pengukuran suhu badan sebelum mula bekerja pada setiap hari, diwajibkan memakai pelitup serta digalakkan memakai pelindung muka semasa bertugas.
“Segala perkara ini dilaksanakan selari dengan SOP untuk PPV seperti ditetapkan oleh KKM,” tegas CITF.
Justeru badan itu juga menjelaskan KKM juga telah menetapkan Panduan Pengudaraan Dan Kualiti Udara Dalaman Bagi Tetapan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Dalam Tempoh Pandemik COVID-19 baru-baru ini.
Sambung CITF lagi, semua PPV di bawah program PICK mematuhi panduan berkenaan sebagai langkah mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui udara.
Dalam satu lagi perkembangan sama, CITF juga mengulas mengenai dakwaan kononnya terdapat pesakit Covid-19 yang pernah hadir sebelum ini ke PPV berkenaan.
Menurut badan itu ,PPV SCCC juga mengesahkan penerima vaksin dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 yang telah melepasi tempoh kuarantin dibenarkan menerima vaksinasi dengan bukti surat pelepasan yang dikeluarkan oleh Pusat Kesihatan Daerah sekiranya mereka dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.
Kata CITF, perkara itu telah termaktub dalam Clinical Guideline on Covid-19 Vaccination of Malaysia, 2nd Edition.
CITF juga menyatakan komited terus memastikan semua PPV mematuhi garis panduan yang telah disediakan serta menjalankan amalan SOP yang sepatutnya bagi memastikan tiada risiko penularan jangkitan berlaku di mana-mana PPV, pada ketika jangkitan kini menular dalam kalangan komuniti.- MalaysiaGazette
Cadang semua petugas dan sukarelawan ppv buat saringan selang sehari guna kit ujian air liur. Kalau kaedah rtk tu sakit ckit. Guna kit air liur tentu tak jadi masalah klu kerap uji pun.