MADRID – Barcelona yang selama ini berdepan kesukaran untuk ‘membuang’ Antoine Griezmann yang dianggap liabiliti kepada kelab berkenaan akhirnya menemui penyelesaian terbaik.
Laporan terkini di Nou Camp mendakwa the Catalans bersedia untuk ‘merembat’ bintang Juventus, Paulo Dybala yang ternyata memberi kejutan dalam La Liga dan Serie A Itali.
Malah, Barcelona menggunakan peluang berkenaan untuk mencampak Griezmann ke kelab the Old Lady itu.
Inisiatif berkenaan adalah salah satu usaha Barcelona untuk memotong kos gaji pemain kelab berkenaan mengelak perlanggaran Peraturan Keadilan Kewangan (FFP) La Liga Sepanyol.
Barcelona kini dilanda krisis kewangan dan bergelut untuk membuang pemain bintang yang bergaji mahal.
Griezmann merupakan bintang Perancis menerima gaji mingguan £300,000 di Nou Camp dan Barcelona mahu melepaskan pemain itu untuk membolehkan khidmat Messi terus dipertahankan untuk tempoh panjang.
Dybala, 27, memiliki kontrak berbaki setahun lagi bersama the Old Lady menjadi tumpuan Barcelona.
Griezmann juga dikaitkan dengan laporan untuk kembali semula ke Atletico Madrid untuk bersatu dengan bekas bosnya, Diego Simeone.
Presiden Atletico, Enrique Cerezo pula tidak mahu menafikan berita itu sambil menjelaskan terdapat segala kemungkinan membabitkan Griezmann.
“Dalam dunia bola sepak apa jua boleh berlaku tetapi dalam soal Griezmann, saya tidak ada idea,” katanya.
Sejak berhijrah ke Nou Camp pada tahun 2019 dengan nilai £107 juta, Griezmann kini menjadi bahan kritikan semua pihak.
Bagaimanapun di sebalik segala kritikan itu, pemain itu berjaya menjaringkan sebanyak 20 gol dalam semua permainan bersama Barcelona pada musim lalu.-MalaysiaGazette