Home Nasional Op Patuh: 83,215 pemeriksaan, 388 individu ditahan ingkar SOP

Op Patuh: 83,215 pemeriksaan, 388 individu ditahan ingkar SOP

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 388 individu ditahan atas pelbagai kesalahan membabitkan pengingkaran prosedur operasi standard (SOP) menerusi Operasi Pematuhan baru-baru ini.

Penahanan itu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pasukan Task Force Operasi Pematuhan SOP membabitkan sebanyak 83, 215 pemeriksaan yang dilaksanakan semalam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ia melibatkan 4,339 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 19,567 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semalam, 388 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP. Daripada jumlah itu, seramai 355 individu dikompaun manakala 31 lagi direman dan dua lagi dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dan mengamalkan kawalan kendiri dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Berkenaan Operasi Benteng di sempadan negara semalam, pasukan keselamatan telah menangkap seramai 19 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan merampas tiga buah kenderaan darat kerana menceroboh masuk kedalam negara secara tidak sah menerusi perairan negara.

Katanya, Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain.- MalaysiaGazette