Home Sukan Pemain Everton ditahan terlibat jenayah seksual kanak kanak

Pemain Everton ditahan terlibat jenayah seksual kanak kanak

Pemain profesional Everton ditahan kerana disyaki terlibat jenayah seksual kanak-kanak dan barang bukti kes disita dari rumah pemain itu oleh Polis Great Manchester Jumaat lalu.

LONDON – Seorang pemain bola sepak profesional Liga Perdana Inggeris (EPL) telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam jenayah seksual kanak-kanak.

Individu itu dikenal pasti sebagai pemain kelab Everton yang berusia 31 tahun dan sudah berumahtangga.

Bagaimanapun polis tidak menamakan dan mendedahkan identiti suspek atas faktor perundangan.

Namun suspek difahamkan sebagai seorang bintang antarabangsa berpengalaman.

Suspek ditahan oleh Polis Greater Manchester pada Jumaat lalu untuk membantu siasatan lanjut kes itu berikutan dakwaan tersebut.

Satu kenyataan kelab pemain itu mengesahkan mengenai penahanannya oleh polis selain menggantung pemain itu sehingga kes selesai.

Polis telah mengeledah kediaman pemain itu bernilai £2 juta awal Julai ini untuk mendapatkan bukti dakwaan jenayah seksual itu membabitkan suspek.

Berita penahanan pemain Everton dalam jenayah seksual kanak-kanak mengejutkan pasukan dan EPL secara am.

Malah kelab EPL itu menyatakan komitmen dan kerjasamanya untuk terus menyokong polis dalam siasatan dan memberi keterangan yang diperlukan dalam kes ini.

Jurucakap Everton mengesahkan penggantungan pemainnya pasukan pertamanya itu sebagai membantu siasatan polis.

“Kita akan memberi sepenuh kerjasama kepada polis dalam kes jenayah membabitkan pemain kami dan sehingga itu kelab tidak akan komen apa-apa mengenai kes ini,” katanya.

Namun kelab berkenaan tidak mengulas lanjut mengenai insiden membabitkan pemainnya.

Kini pemain itu difahamkan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan diteruskan dan dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya.

Sumber juga memaklumkan beberapa barang telah dirampas dari kediaman pemain itu yang kemudian disoal siasat berjam lama mengenai dakwaan jenayah yang dikaitkan dengannya.

Pemain itu difahamkan pulang ke rumahnya pada lewat malam Jumaat selepas dibenarkan oleh polis.

Berita penahanan pemain profesional the Toffees itu mengejutkan EPL yang akan membuka tirai dalam tempoh empat minggu lagi.-MalaysiaGazette