Home Nasional Tindakan tegas terhadap warga asing solat Aidiladha – KDN

Tindakan tegas terhadap warga asing solat Aidiladha – KDN

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Lantikan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.
Datuk Seri Hamzah Zainudin Foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan diambil ke atas terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis solat Hari Raya Aidiladha tanpa kebenaran hari ini.

Itu jaminan Kementerian Dalam Negeri selepas satu video berkenaan pelanggaran SOP Solat Hari Raya Aidiladha di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang didakwa melibatkan warga asing pagi ini seperti yang tular dalam media sosial.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, rentetan penularan insiden itu, pihaknya mengarahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mengambil tindakan pengusiran di bawah Akta Imigresen 1958/63 sekiranya ianya membabitkan penglibatan warga asing.

“Berikutan video yang telah ditularkan berkenaan pelanggaran SOP Solat Hari Raya Aidiladha di Seberang Perai Tengah pagi tadi, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Kontigen (IPK) Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah telah pun memulakan siasatan lanjut secara terperinci.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis cari 200 warga asing langgar SOP solat sunat Aidiladha 

“Selain itu, Ketua Polis Pulau Pinang juga diminta untuk memberikan laporan serta penjelasan terperinci dengan segera berhubung penugasan anggota PDRM yang dipertanggungjawabkan untuk memantau pematuhan SOP di lapangan, terutamanya semasa perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan, KDN memberi jaminan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis tersebut.

“Sementara siasatan dimuktamadkan, KDN menyeru orang awam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidakteraman awam,” ujarnya.-MalaysiaGazette