LONDON – Bekas penasihat utama Perdana Menteri Britain, Boris Johnson mengakui beliau telah berbincang kemungkinan untuk menjatuhkan Johnson tidak lama lagi selepas mendapati kempen Brexit diketepikan oleh Downing Street (pejabat perdana menteri).
Dominic Cummings memberitahu BBC, sejak Januari 2020, setelah pilihan raya November 2019, Johnson tidak “mempunyai rancangan” bagi membincangkan kempen Brexit dan mendakwa isteri Johnson, Carrie Symonds mahu menolak Cummings dan rakan-rakan seperjuangan Vote Leave daripada keputusan penting kerajaan.
“(Orang ramai) sudah mula berkata: ‘Menjelang musim panas, kita semua akan meninggal tempat ini atau kita menyingkirkan (Johnson) dan mendapatkan orang lain sebagai perdana menteri’,” kata Cummings.
Cummings membuat kenyataan itu ketika diwawancara stesen TV buat kali pertama sejak melepaskan jawatannya tahun lalu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari Isnin, Cummings menuduh Johnson tidak mahu mengenakan sekatan pergerakan kedua pada musim luruh tahun 2020 kerana “orang yang mati pada dasarnya berusia lebih dari 80 tahun”.
Downing Street pula memaklumkan Johnson telah mengambil tindakan untuk melindungi nyawa dan mata pencarian.
Setakat ini Kerajaan Britain belum mengulas kenyataan Cummings.
Bagaimanapun, seorang jurucakap kerajaan berkata, menteri-menteri kini memberi fokus sepenuhnya pada pemulihan wabak dan usaha-usaha memulihkan ekonomi.
Dalam wawancara itu, Cummings menyifatkan sesiapa yang yakin 100 peratus tentang kelebihan Brexit sebagai “mengalami masalah mental”, namun beliau mempertahankan tindakan keluar dari Kesatuan Eropah adalah idea yang baik. – MalaysiaGazette