Home Nasional Ada ruang untuk bersoal, berbahas – Wan Fayhsal

Ada ruang untuk bersoal, berbahas – Wan Fayhsal

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bercakap kepada media selepas melawat proses pemberian vaksin di PPV Mega Movenpick, Sepang. Foto FAREEZ FADZIL, 21 JULAI 2021.

SEPANG – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yakin perbahasan dan soalan akan dibuka semasa persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 26 Julai ini.

Beliau yang juga Senator Dewan Negara percaya tentu ada soalan yang akan diajukan kepada menteri-menteri yang terlibat dengan pengurusan Covid-19.

Bagaimanapun katanya, masa untuk sesi itu terhad.

“Saya difahamkan oleh Menteri Undang-undang Datuk Takiyuddin Hassan bahawa sesi Parlimen ada perbahasan, ada pertanyaan. 

“Saya rasa ruang masih ada cuma bahas sepanjang mana tidak pasti, ikut peraturan dewan nantilah. Saya rasa kelonggaran ada dibuat.

Bukan sehala sahaja kena ada pertanyaan dibuat oleh pembangkang kepada menteri-menteri yang diamanahkan untuk menjawab seperti menteri kesihatan, menteri kewangan yang terlibat dengan vaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya perbahasan dibuka kepada Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat bermula 26 Julai ini.

Anwar berkata, sesi perbahasan mustahak bagi membincangkan hal mendesak ketika negara berdepan keadaan sangat mencabar dan rumit.

Sidang Khas Dewan Rakyat akan bersidang selama lima hari bermula jam 10 pagi pada 26 hingga 29 Julai ini dan 2 Ogos depan.

Sidang Dewan Negara pula berlangsung tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos. – MalaysiaGazette