LONDON – Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester City kalah dalam rayuannya untuk menghalang hasil laporan Peraturan Keadilan Kewangan (FFP) oleh pihak berkuasa didedahkan kepada umum.
Badan kawal selia EPL itu membuka siasatan ke atas kelab milik negara Timur Tengah itu dua tahun lalu berikutan dakwaan perlanggaran FFP dalam pembelian pemain yang disiarkan dalam sebuah majalah sukan di Jerman.
Kesatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) dan EPL menjalankan siasatan secara berasingan ke atas kelab kendalian Pep Guardiola itu dengan menggantung kelab itu daripada beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah selama dua tahun.
Bagaimanapun Man City berjaya mengenepikan keputusan itu di Mahkamah Timbang Tara Sukan tahun lalu, selain didenda 30 juta Euro (RM149.5 juta) namun dikurangkan sebanyak 10 juta Euro.
Sementara itu, siasatan diteruskan oleh EPL sebelum City membantah pelantikan suruhanjaya sukan untuk mendengar kes berkenaan pada penghujung 2019.
Peraturan liga berkaitan tribunal disiplin bagaimanapun secara senyap menyokong bantahan Man City di Mahkamah Timbang Tara yang kemudian menolak permohonan mereka untuk mengenepikan hasil laporan siasatan perlanggaran FFP itu disiarkan kepada umum.
Difahamkan dokumen berkaitan siasatan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa awal tahun ini.
“Kita menghormati keputusan Mahkamah CAS mengenai siasatan ke atas kelab kami.
“Keputusan itu berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan dan kami tidak berada dalam kedudukan untuk mengulas mengenainya sehingga prosiding selesai,” kata Man City dalam satu kenyataan hari ini.-MalaysiaGazette