Home Nasional Rakyat tak rasa impak peruntukan RM600 bilion – Mukhriz

Rakyat tak rasa impak peruntukan RM600 bilion – Mukhriz

Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bercakap pada program MG Skop bertajuk Politik Semasa Pandemik: Rakyat Jadi Mangsa? di Studio MG, Lakefields, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 21 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) merasakan peruntukan RM600 bilion oleh kerajaan  tidak dirasai oleh majoriti rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rakyat tidak menerima kesan daripada peruntukan terbesar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani pandemik Covid-19.

“Peruntukan RM600 bilion bukan jutaan tapi kita tak terasa sangat impak dana itu untuk tangani Covid-19. Contohnya dalam soal pembelian vaksin cukup atau tidak, adalah ia sampai pada masa yang kita hendak. Adakah ianya disebar luas untuk manfaat rakyat kita.

“Adakah diberikan keutamaan kepada warga emas dan petugas barisan hadapan, guru-guru.

“Jadi, saya ingat banyak kelemahan yang saya nampak dalam cara kerajaan menguruskan dana dan pendekatan yang mereka gunakan untuk memerangi pandemik ini,” katanya selepas menjadi ahli panel program Skop MG berjudul Politik Semasa Pendemik: Rakyat Jadi Mangsa? siaran MalaysiaGazette malam ini.

Turut diundang penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) bersama Penganalisis Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani (kanan) pada program MG Skop bertajuk Politik Semasa Pandemik: Rakyat Jadi Mangsa? di Studio MG, Lakefields, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIA GAZETTE, 21 JULAI 2021.

Untuk rekod, PN telah membelanjakan sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.

Pada Mac lalu, Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi baru yang digelar Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelbagai pakej rangsangan, iaitu Prihatin bernilai RM250 bilion, PKS Prihatin (RM10 bilion), Penjana (RM35 bilion), Kita Prihatin (RM10 bilion) dan Permai (RM15 bilion).

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, kerajaan juga menghadapi masalah tersendiri apabila beberapa menteri Kabinet dilihat tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan melanggarnya.

Perkara itu dilihat canggung apabila ia hanya dipatuhi oleh rakyat dan bukan pemimpin yang sepatutnya mencerminkan teladan kepada rakyat.

“Malangnya SOP yang ditetapkan kadang-kadang dilanggar sendiri oleh wakil kerajaan, jadi ini tidak memberikan keyakinan kepada rakyat itu sendiri,” ujarnya.

Justeru itu Mukhriz berkata, kerajaan harus menerima ada cadangan-cadangan daripada pembangkang dan individu tertentu yang mempunyai asas dalam menangani pandemik Covid-19.

Jelas beliau, sekarang bukan masanya untuk kerajaan berpolitik malah harus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Malaysia menang dalam perjuangan menentang Covid-19.

“Jangan pandang kami hanya sebagai pembangkang sahaja dan kerja kami nak menentang kerajaan sahaja. Itu politik, waktu ini kita tidak ada masa untuk berpolitik.

“Kita kena ada percambahan idea daripada semua pihak yang akan bantu menangani masalah yang dihadapi secara global,” katanya lagi. – MalaysiaGazette