Home Nasional Rekalibrasi: PATI tak terkandas, mereka tunggu giliran bayar kompaun – Khairul

Rekalibrasi: PATI tak terkandas, mereka tunggu giliran bayar kompaun – Khairul

Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen (JIM) menafikan laporan berkenaan sambutan luar biasa Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan ramai dalam kalangan mereka terkandas kerana terlepas penerbangan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, sebenarnya semua warganegara asing berkenaan tidak terperangkap atau diminta berkumpul di KLIA.

“Sebaliknya, mereka menunggu giliran bagi membayar kompaun sebanyak RM500 dan mendapatkan Memo Periksa KeluarĀ  sebelum dibenarkan meninggalkan Malaysia dan sebenarnya warganegara asing ini telah melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

“Malahan, sambutan ke atas program rekalibrasi pulang sangat menggalakkan yang mana sehingga 20 Julai lalu, seramai 101,691 orang PATI telah berdaftar dan 83,117 daripada jumlah ini telah meninggalkan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, mulai 5 hingga 20 Julai lalu, seramai 3,483 orang PATI telah pulang melalui perkhidmatan kaunter khas di KLIA.

Justeru katanya, jumlah PATI yang datang ke KLIA adalah di luar jangkaan dan melebihi kapasiti ruang menunggu yang disediakan di tingkat 3 di lapangan terbang itu.

Selain itu, pihaknya juga mengesan terdapat dalam kalangan mereka yang terlepas penerbangan kerana datang lewat tetapi terus kekal berada di KLIA untuk menunggu giliran dan penerbangan seterusnya.

“Jabatan ini telah mengambil langkah segera bagi mempercepat dan melancarkan urusan pulang PATI melalui kaunter khas di KLIA antaranya berunding dengan pihak pengurusan KLIA untuk penambahan dan lokasi menunggu giliran yang lebih sesuai serta meluaskan operasi kaunter Rekalibrasi Pulang ke klia2.

“Sebanyak 20 kaunter tambahan dan ruang menunggu yang baharu akan dibuka secara berpusat di short term car park KLIA yang dijangka dapat menampung kapasiti seramai 850 sehingga 1, 000 orang pada satu-satu masa.

“Selain itu, lapan buah kaunter dan ruang menunggu akan dibuka di aras 2, klia2 dengan kapasiti seramai 500 orang pada satu masa dan kedua-dua lokasi kaunter dan ruang menunggu baharu ini dijangka akan dapat memulakan operasi pada minggu depan,” katanya.

Sebagai tambahan, jelas Khairul Dzaimee, pihaknya juga sedang mengambil tindakan untuk membuka kaunter khas di Pintu Masuk Laut di Johor bagi memberi kemudahan kepada PATI warga negara Indonesia yang pulang menggunakan feri.

JIM juga ingin memaklumkan hanya PATI yang mempunyai slip ujian RT PCR negatif sahaja dibenarkan berurusan di kaunter-kaunter khas berkenaan.

Penambahbaikan yang dilaksanakan itu diharap dapat mengatasi masalah kesesakan dan melancarkan lagi pelaksanaan Program Rekalibrasi Pulang melalui Kaunter Khas di KLIA, tegasnya.-MalaysiaGazette