Home Politik Angka kematian meningkat bukti kegagalan paling besar PN – Kit Siang

Angka kematian meningkat bukti kegagalan paling besar PN – Kit Siang

Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pembentangan laporan langkah-langkah untuk mengurangkan kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 perlu dibentang di sidang Parlimen minggu depan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, perkara itu perlu dilakukan selepas kes kematian akibat wabak itu semakin meningkat lebih daripada 22 kali daripada korban harian sebelum darurat kepada 199 kes kematian semalam.

“Jika keadaan darurat untuk memerangi pandemik Covid-19 berjaya, kita tidak perlu berdepan dengan kes kematian Covid-19 setiap hari selepas enam bulan darurat atau paling banyak satu atau dua kematian Covid-19 sahaja setiap hari.

“Ini adalah kes yang mana penawarnya adalah 22 kali lebih teruk berbanding penyakit,” kata Kit Siang menerusi blognya.

Beliau berkata, sebelum darurat pada 11 Januari 2021, terdapat 551 kematian Covid-19 dari tempoh 12 bulan pertama wabak Covid-19.

“Kini jumlah terkumpul kematian Covid-19 mencapai 7,440, peningkatan eksponensial lebih daripada 13 kali dalam enam bulan.

“Ini adalah ukuran besarnya kegagalan darurat, pelbagai sekatan pergerakan dan Pelan Pemulihan Nasional untuk mengendalikan pandemik Covid-19 dan mengapa strategi dan pendekatan baharu sangat diperlukan terutama dengan pemikiran antarabangsa yang baru beralih dari objektif ‘Sifar Covid’ hingga ‘Hidup bersama Covid’,” katanya lagi.

Jelas beliau, laporan kadar kematian mengejutkan Covid-19 di Malaysia petang semalam mengesahkan ketepatan gabungan masyarakat sivil, Pelan Tindakan Kecemasan Kesihatan (HEAP), bahawa situasi buruk wabak Covid-19 masih belum tiba.

Lantaran itu ‘Pelan Induk Pemulihan Covid-19’ perlu menjadi subjek perbahasan Parlimen pada minggu depan.

Semalam, negara merekodkan sebanyak 199 angka kematian Covid-19 – kesĀ  paling tinggi sejak pandemik ini menular di Malaysia awal tahun lalu. – MalaysiaGazette