TOKYO – Jaguh tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic menunjukkan suara lebih yakin untuk merangkul emas pertamanya dalam sukan Olimpik Tokyo 2020.
Bagaimanapun tumpuan seluruh komuniti dunia kini tertumpu ke arah pemain itu bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini ke arah rekod golden slam menerusi temasya Olimpik kali ini.
Juara Wimbledon dari Serbia itu kini sudah berada perkampungan sukan di Tokyo sejak minggu lalu.
Djokovic merupakan pemain pertama dalam tempoh 50 tahun ini menang tiga gelaran grand slam berturut-turut dalam setahun.
Kini dia menyasarkan gelaran keempat sekaligus memahat nama sebagai jaguh pertama dalam sejarah tenis menang golden slam kesemua empat gelaran utama dan emas Olimpik dalam satu musim.
Pemerhati tenis berpendapat, Djokovic dalam kedudukan terbaik untuk mencipta sejarah berkenaan dan lebih yakin pemain itu akan mengondol emas dengan mudah di bumi matahari terbit itu.
Bercakap dalam sidang media, Djokovic berkata, mewakili negara dan pasukan tenis adalah suatu aset berharga yang menggalakkan dirinya dengan tenaga dan keyakinan.
“Saya bertambah cergas secara fizikal dan mental bersedia untuk memberikan yang terbaik di atas gelanggang. Saya tanpa dijangka, sedang mengharungi musim gelaran Grand Slam yang terbaik dalam karier sukan setakat ini.
“Harapan saya di Tokyo adalah aksi terbaik dan pencapain cemerlang untuk meneruskan kegemilangan,” katanya.
Dalam sejarah tenis dunia, Steffi Graf merupakan satu-satunya jaguh teniss wanita yang mencapai status Golden Slam dengan memenangi pingat emas dalam tenis perseorangan di Seoul 1988.
Kini perhatian para pemerhati sukan serta peminat serata dunia akan menantikan aksi Djokovic ke arah pencapaian itu dan memahat nama dalam legasi tenis dunia.
Baik Roger Federer mahu pun Rafael Nadal yang memegang rekod 20 gelaran Grand Slam dalam karier mereka belum dapat melakar rekod Golden Slam itu.
“Saya pernah bersama suaminya, Andre Agassi beberapa tahun yang lalu dan juga mendapat meluangkan sedikit masa dengan legenda tenis, Steffi.
“Saya terpegun dengan pencapaian serta legasi bersejarah yang ditinggalkan dalam dunia tenis yang masih dikenang dunia.
“Apabila memikirkan pencapaiannya, peluangnya sangat tipis untuk mana-mana jaguh kini untuk mengulangi pencapaiannya namun sekarang ia dilihat realistik dan sudah pasti itu misi dan impian,” ujarnya.-MalaysiaGazette