Home Pendapat Ibadah haji dalam norma baharu

Ibadah haji dalam norma baharu

Amalan harian dan ibadah kembali normal dengan peraturan yang ditetapkan. foto Agensi

SETIAP tahun umat Islam yang terpilih menjadi tetamu Allah akan melaksanakan ibadah haji di Mekah, iaitu ziarah yang merupakan himpunan terbesar dari seantero dunia.
Ibadah haji adalah rukun Islam kelima yang menjadi kewajipan ke atas setiap umat Islam
sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup mereka bagi yang berkemampuan
mengerjakannya.

Pelaksanaan ibadah haji ini menunjukkan simbolik perpaduan dan persaudaraan dalam
kalangan Muslim serta penyerahan keseluruhan jiwa kepada Allah. Ziarah ini dilakukan pada 8 hingga 12 hari bulan Zulhijjah, bulan terakhir dalam kalendar Hijrah. Selama lebih 1,400 tahun umat Islam seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam pelaksanaan ibadah haji iaitu pada 10 Zulhijjah.

Sebagaimana kebiasaannya, umat Islam akan memperuntukkan enam hari bagi menyempurnakan menziarahi beberapa tempat wajib seperti Mina, Muzdalifah dan Mekah di mana mereka akan melakukan ibadah menjelang Hari Arafah. Berjuta-juta umat Islam melakukan perjalanan kerohanian ini setiap tahun untuk menjadi lebih dekat dengan Allah melalui ketekunan, ketundukan dan kehambaan.

Berubah kerana pandemik

Tahun ini sekali lagi, sama seperti musim haji 2020, umat Islam di seantero dunia tidak dapat hadir berikutan koronavirus yang masih belum tampak  surutnya, semua umat Islam di luar Arab Saudi tidak dapat melaksanakan ibadah ini.

Kerajaan Arab Saudi telah mengehadkan kuota ibadah haji tahun ini kepada hanya 60,000
warganegara dan penduduk, iaitu 59,000 lebih banyak berbanding tahun 2020 ketika wabak itu memuncak. Selain itu, mereka yang mendapat kebenaran melaksanakan ibadah ini perlulah telah mendapat suntikan vaksin dan bebas daripada penyakit serta berumur antara 18 hingga 65 tahun.

Pada hari Selasa, para jemaah telah mula melemparkan batu yang disanitasi pada hari
pertama Aidiladha. Sekumpulan kecil jemaah itu bergerak ke Mina berdekatan Mekah untuk menyempurnakan ibadah yang menjadi simbol membaling batu kepada iblis di Jamrah al-Aqabah. Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, tempat tersebut adalah yang paling banyak berlakunya kemalangan iaitu ketika melontar jamrah kerana jutaan orang terpaksa bersesak dalam ruang yang sempit bagi menunaikan ibadah itu.

Seramai 60,000 penduduk di Arab Saudi mengambil bahagian dalam ibadah tersebut
dibandingkan dengan sekitar 2.5 juta umat Islam pada tahun 2019. Para peserta dipilih
daripada 558,000 pemohon mengikut sistem audit elektronik. Para jemaah yang memakai pakaian ihram putih dan memakai topeng penutup muka, melemparkan batu yang diberikan oleh pihak berkuasa di dalam beg tertutup sejak di Muzdalifah.

Dalam suasana baharu, saranan teknologi yang tersedia digunakan untuk memastikan
penguatkuasaan jarak fizikal dan mengurangkan penularan jangkitan. Kad pintar haji yang dinamakan Sha’ir telah diperkenalkan. Ia membolehkan para jemaah
haji menggunakan kemudahan pengangkutan, di hotel mahupun kemudahan lainnya tanpa memerlukan khidmat manusia. Robot hitam dan putih juga digunakan untuk mengedarkan botol air zamzam kepada jemaah.

Kawalan ketat dan sistematik

Untuk tahun kedua berturut-turut, pemandangan kelihatan sama sekali berbeza dengan
tahun-tahun sebelumnya di lokasi jamrah iaitu tempat melontar yang biasanya sangat sesak dan padat. Pihak berkuasa Arab Saudi berusaha mengulangi kejayaan tahun lalu dengan mengenal pasti dan menetapkan peraturan yang ketat agar dapat membuat langkah pencegahan terhadap wabak yang hebat menular ini.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq Al-Rabiah, mengesahkan dalam wawancara dengan
AFP pada hari Isnin malam ketika di Arafah bahawa tidak ada jangkitan dengan Covid-19
yang dicatatkan dalam kalangan jemaah kali ini. "Sejak awal, kami mengutamakan keselamatan para jemaah dengan membataskan jumlah mereka hingga 60,000 untuk memastikan langkah terkawal dan berjaga-jaga dapat diterapkan dengan cara yang harmoni," ujarnya.

Beliau turut berharap ibadah haji dapat dijalankan seperti biasa pada tahun depan, sama
seperti musim haji 2019 yang yang dihadiri lebih 2.5 juta jemaah dari seluruh pelusuk dunia. Ibadah haji tahun ini diadakan ketika Arab Saudi merekodkan lebih 510,000 kes jangkitan termasuk 8,089 kematian.

Tetap dilaksanakan

Sebagaimana Hari Raya Aidilfitri, seluruh negara tetap merayakan Hari Raya Aidiladha.
Begitu juga dunia Arab merayakan Hari Raya Aidiladha tahun ini dengan keadaan yang lain daripada yang lain bersama langkah pencegahan akibat virus Covid-19 yang belum hilang lagi. Ibadat haji tetap dilaksanakan walaupun keadaan yang berbeza. Ribuan jemaah haji di Makkah Al-Mukarramah telah tiba di Mina, sedari awal lagi sebagai tanda bermulanya ibadah haji yang sebenarnya, menjelang 10 Zulhijjah (semalam), yang hanya terhad kepada penduduk Arab Saudi yang telah diberi suntikan vaksin.

Selain itu, layanan bersepadu telah dipersiapkan termasuk mengawal masuknya jemaah ke masjid, melakukan pemeriksaan suhu dan menerapkan semua protokol kesihatan yang
ditetapkan oleh pihak berwajib untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka.
Jemaah harus mengikuti perintah jarak fizikal dan menggunakan topeng muka.

Dalam pada itu, umat Islam dunia terus berdoa mengharapkan agar tahun 2022, ibadah haji dapat dilaksanakan seperti biasa semula dan dapat berhimpun melaksanakan rukun Islam kelima ini dengan lebih baik. Moga dengan usaha-usaha seluruh negara menangani situasi pandemik yang telah berlangsung selama hampir dua tahun ini, ia berjaya serta memberikan kembali sinar baharu kepada masyarakat dunia untuk menjalani kehidupan seperti sebelum datangnya wabak ini, insya-Allah. Teruskan menghayati makna dan erti yang terkandung dalam pensyariatan ibadah haji ini, apatah lagi kita masih pada Hari Tasyrik sehingga 13 Zulhijjah iaitu 23 Julai 2021.

Atriza Umar
Pegawai Penerangan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia