Home Pendapat Kemelut durian: Apakah kesudahannya?

Kemelut durian: Apakah kesudahannya?

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak membenarkan permohonan pekebun haram Hutan Simpanan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub untuk memasuki semula kawasan berkenaan bagi mendapatkan barangan mereka.- Gambar hiasan.

Surat kepada Pengarang

Apa yang akan terjadi selepas penguatkuasaan di Hutan Simpan Batu Talam?

Saya memuji keazaman Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dalam operasi penguatkuasaan baru-baru ini berkaitan isu penanaman haram di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub. Namun, jika diperhatikan, terdapat beberapa persoalan dalam isu ini, yang paling ketara ialah adakah masalah pencerobohan ini satu perkara baru ataupun telah berlanjutan selama berdekad lamanya?

Pertanian haram telah berlaku selama bertahun-tahun dan terdapat satu kajian yang dijalankan pada tahun 2002 menjelaskan betapa bahayanya aktiviti pencerobohan ini.

Persoalannya mengapakah pihak pentadbiran negeri Pahang tidak melaksanakan penguatkuasaan yang lebih konsisten dan terancang berbanding operasi baru baru ini yang bersifat reaktif?  Pihak berkuasa telah lama sedar tentang bahayanya perkara ini.

Usaha daripada pihak penguatkuasaan harus dipertingkatkan dan dalam pada masa yang sama memberi ruang kepada petani-petani haram ini ke arah kehidupan yang lestari dimana mereka dibimbing mengenai cara pertanian yang lebih teratur dan mengikut piawaian yang betul dan bukannya membiarkan mereka begitu sahaja setelah pokok-pokok mereka ditebang.

Pada awal tahun 2002, terdapat satu kajian mengenai Pembangunan Lestari di Tanah Tinggi Semenanjung Malaysia. Kajian ini dijalankan oleh World Wide Fund for Nature dengan Pejabat Perdana Menteri di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan disokong oleh Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), yang mengetengahkan isu pencerobohan hutan simpan di Hutan Simpan Gunung Benum di Raub , Pahang.

Menurut kajian itu, Banjaran Benum yang terletak di tengah Pahang, antara Jerantut, Raub dan Temerloh, menempatkan salah satu rizab hidupan liar terbesar di Semenanjung Malaysia iaitu Rizab Hidupan Liar Krau. Salah satu Hutan Simpan Kekal (PFR), Gunung Benum juga terletak di Banjaran Benum.

Kajian itu menunjukkan bahawa petani dari Raub telah menceroboh Hutan Simpan Gunung Benum, yang dilaporkan sebagai ‘pencerobohan seluas 7,000 ekar’, yang meliputi tanah kerajaan negeri dan hutan simpan. Hampir dua pertiga dari pencerobohan itu berada dalam kawasan hutan simpan dan dibersihkan untuk penanaman komersial. Ini adalah di dalam daerah sama yang baru-baru ini kita dapat lihat 15,000 pokok durian telah ditebang kerana ditanam secara haram di dalam kawasan hutan simpan.

Hari ini, saya terkejut dengan cara 2 orang ahli politik tempatan di Raub yang seperti mempermainkan isu ini secara terbuka dan menghebah. Salah seorang ahli politik berkenaan mengatakan bahawa terdapat pencerobohan durian haram seluas 11,000 ekar di Raub dan sedikit sebanyak ada benarnya. Dan seorang lagi ahli politik telah mengeluarkan satu kenyataan didalam wawancara video baru-baru ini bahawa sehingga 70% durian yang dihasilkan oleh Raub berasal dari ladang haram ini.

Berdasarkan statistik Jabatan Pertanian, Raub  menghasilkan 71,000 tan durian pada tahun 2019, bermakna 70% daripadanya ialah sebanyak 49,700 tan setahun. Dengan mengandaikan pengeluaran sebanyak 3.5 tan per ekar setiap tahun, apakah ini bermakna skala pencerobohan di Raub telah mencapai lebih dari 14,000 ekar?

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 100%! Keluasannya sama dengan 8,000 padang bola sepak. Jika diambil kira skala pencerobohan dan saiz industri ini, ditambah pula dengan kecenderungan kegiatan rasuah, perkara ini sangat merunsingkan. Berdasarkan permintaan pasaran semasa dari China sebanyak hampir 700,000 tan setiap tahun, dan eksport Malaysia hanya 30,000 tan seperti yang dilaporkan, bayangkan tahap pencerobohan haram ini dalam jangka masa 5 tahun ke depan jika isu ini terus dibiarkan?

Walaubagaimanapun, kedua-dua ahli politik berkenaan telah menggambarkan seolah-olah petani-petani haram ini telah menjadi “mangsa”, “miskin” dan “teraniaya”. Mari kita lihat perkara ini dengan perspektif yang jelas. Dengan kadar pengeluaran 3.5 tan per ekar pada harga ladang purata RM30 / kg, kita melihat angka pendapatan tahunan sebanyak RM1.5 bilion untuk 14,000 ekar pencerobohan. Ini secara jelas merupakan perniagaan yang menguntungkan lebih-lebih lagi jika diambil kira transaksi berasakan tunai dan tanpa rekod. Sekiranya setiap petani mengusahakan ladang durian haram seluas 10 ekar, mereka akan menikmati pendapatan RM1,050,000 setiap tahun. Bekerja keras pasti tetapi miskin? Mustahil! Dan bagaimana pula dengan petani yang mengusahakan kebun mereka berlandakan undang-undang, dan membayar cukai tanah dan cukai pendapatan? Bukankah ini satu ketidak adilan bagi petani yang sah ini? Mungkin Lembaga Hasil Dalam Negeri perlu menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut!

Adalah sangat memalukan apabila melihat ahli politik terus bermain dengan retorik dan sentimen sebegini. Baru-baru ini, seorang ahli politik berkata tidak ada orang akan terlepas dari bidang kuasa Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pendekatan “undang-undang adalah undang-undang” harus digunakan ketika berurusan dengan peniaga. Mengapa sekarang ahli politik sekutunya bertukar slogan pula di Raub? Sepertinya kita dapat lihat bila mereka ini tidak berada dalam kerajaan, mereka sesuka hati bertindak dengan cara sendiri dan galak menggunakan kad “bangsa” mengikut suka dan keadaan mereka. Sangat mengecewakan!

Saya harap operasi oleh kerajaan Negeri Pahang untuk mengusir petani haram di Hutan Simpan Batu Talam baru-baru ini bukan sekadar aksi publisiti. Bagaimana dengan baki 11,000 – 14,000 ekar pencerobohan haram? Apakah tindakan kerajaan negeri seterusnya?

Dalam mengambil tindakan tegas berkaitan pencerobohan haram ini, kita juga harus melihat perkara ini dari perspektif ekonomi Malaysia terutama pada masa sekarang. Durian kini merupakan salah satu sumber pendapatan eksport yang paling berpotensi di negara ini. Sekiranya pentadbiran Negeri Pahang tiada penyelesaian holistik terhadap isu yang kompleks ini, maka ia haruslah berani untuk terus melakukan operasi penguatkuasaan terhadap semua peneroka haram dan bukan sekadar bercakap sahaja.

Semoga pihak negeri dapat menyelesaikan masalah rumit ini dan apakah kesudahannya akhirnya?

Stephen Wong
Casa Green Cybersouth,
Dengkill

1 Komen

  1. Para talibarut tentera PKM yang ditubuhkan dan dibiayai sekian lama oleh Tanah Besar Komunis Cina sehingga 1989 menuntut janji diberi tanah hutan tumpahnya darah perjuangan komunis mereka dahulu, kan?

Comments are closed.