Home Utama Kerajaan pertimbang pasangan jarak jauh lengkap vaksin pulang jenguk keluarga – TPM

Kerajaan pertimbang pasangan jarak jauh lengkap vaksin pulang jenguk keluarga – TPM

Anggota polis memeriksa surat rentas negeri seorang pemandu semasa mengadakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Pasangan dan ibu bapa jarak jauh yang telah lengkap dua dos vaksin COVID-19, mungkin akan dibenarkan merentas negeri untuk bertemu keluarga mereka, melalui kelonggaran yang akan diumumkan kerajaan nanti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran bertemu keluarga jarak jauh adalah antara perkara yang sedang diperhalusi  untuk dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Katanya beliau mengambil berat terhadap komen-komen netizen di media sosial, yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibu bapa yang terpisah dari anak-anak, kerana larangan merentas negeri.

“Oleh sebab itu saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat Mesyuarat Keselamatan Negara (MKN). InsyaAllah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini, bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh disatukan semula, lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin.

“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia. Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama,” katanya melalui satu kemas kini dalam laman Facebooknya di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara, serta akan diumumkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette