LONDON – Situasi kontrak Paul Pogba di Old Trafford menyebabkan Manchester United dalam dilema besar mencari penyelesaian segera mengenai masa depan pemain berkenaan.
Red Devils gembira berbelanja besar dalam pasaran Eropah merekrut pemain baharu musim ini untuk mencabar semula kejohanan besar diikuti kehadiran Jadon Sancho, diikuti Rafael Varane dan Kieran Trippier.
Namun tajuk utama yang menghiasi akhbar mengenai kelab berkenaan adalah kebimbangan besar tentang pemain yang bakal meninggalkan Old Trafford.
Pengurus kelab Ole Gunnar Solskjaer berada dalam posisi penting untuk membuat keputusan besar dalam soal Paul Pogba di Theatre of Dreams yang memasuki peringkat akhir dalam kontraknya bersama kelab tersebut.
Kini United berada dalam dilema untuk menjual bintang Perancis itu dalam tempoh lima minggu akan datang selepas direkrut ke kelab dengan harga rekod dunia £89 juta (RM516.7 juta) pada 2016 dari Juventus.
Dalam perkembangan terkini, pasukan gergasi Ligue 1 Perancis, Paris Saint Germain telah menyatakan minat kuat untuk khidmat pemain prolifik itu dan difahamkan ejennya Mino Raiola terlibat dalam perbincangan mengenai terma peribadi pemain itu bersama PSG untuk berhijrah ke Paris.
Kelab Perancis itu antara beberapa kelab terpilih di Eropah yang mampu menepati tuntutan gaji mingguan £290,000 (RM1.683 juta) yang diterima Pogba di Old Trafford ketika ini.
PSG juga bertambah yakin yuran bernilai £43 juta (RM249.65 Juta) jumlah yang munasabah dan boleh meyakinkan Manchester United untuk melepaskan pemain itu.
Situasi ini mengakibatkan Manchester United berada dalam dilema bagi menentukan sama ada mahu menerima tawaran PSG itu atau berisiko kehilangan pemain berkenaan secara percuma selepas kontrak tamat Jun 2022.
Kali terakhir Pogba meninggalkan United pada 2012 menyertai the Old Lady dalam Serie A Itali di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan menerima pampasan £800,000.
Sepanjang empat musim di Turin, Pogba muncul sebagai antara bintang tengah terbaik dunia sebelum Man United terpaksa membawa pulang dengan yuran rekod dunia.
Maka sudah pasti Man United tidak sanggup melepaskan pemain berkenaan untuk kali kedua tanpa pulangan kerana masih berbisa walau sudah berusia 28 tahun dan diyakini PSG masih berupaya menyinar di pentas dunia.
Aksi Pogba menggerunkan bersama Perancis dalam Euro 2020 mencetuskan persoalan kenapa dia tidak dapat mempamerkan prestasi sama bersama Man United.-MalaysiaGazette