KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) mengesahkan bahawa kelab Liga Super, Petaling Jaya City dan Selangor FC dibenarkan untuk kembali beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya manakala UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam.
Keputusan pindaan itu dibuat setelah Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Berdasarkan perkembangan terkini yang diumumkan oleh pihak kerajaan, pasukan-pasukan yang sebelum ini berada di kawasan PKPD kini dibenarkan untuk menggunakan venue masing-masing selepas PKPD ditamatkan.
“Ini sudah pasti berita yang menggembirakan buat pasukan terbabit memandangkan sebelum ini mereka tidak dibenarkan beraksi di venue dalam kawasan PKPD dan diminta mencari venue lain.
“Dengan keputusan terbaharu ini, saya percaya ia akan memudahkan pasukan-pasukan dalam membuat persediaan menjelang Liga Malaysia (Liga M) yang bakal bersambung pada 24 Julai ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dalam pada itu, berkenaan dengan SOP Fasa 2 bagi Sabah yang berkuatkuasa 10 Julai lalu di mana kuarantin selama 14 hari dikenakan kepada individu yang ingin memasuki negeri itu, Dato’ Ab Ghani menjelaskan, pihaknya sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia.
“Kami berharap, permohonan bagi mendapatkan kebenaran khas daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah akan diluluskan. Ini bagi memudahkan kemasukan pasukan-pasukan Liga Malaysia yang berada dalam gelembung sukan ini memasuki Sabah tanpa menjalani kuarantin dalam tempoh lama.
“Diharap Liga Malaysia yang akan bersambung semula 24 Julai ini akan berjalan lancar dengan semua pemain dan pegawai yang terlibat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikhaskan bagi melindungi gelembung sukan Liga Malaysia daripada berlakunya penularan wabak Covid-19,” tambahnya. – MalaysiaGazette