KUALA LUMPUR – Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tetap berdiri teguh bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa melakukan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) hari ini.
Muda berkata, pihaknya yakin Syed Saddiq akan mendapat pembelaan yang sewajarnya tidak lama lagi.
“Untuk mendapatkan keadilan dan kebenaran, sudah terbukti berkali-kali, kerajaan hari ini tidak boleh diharap.
“Kami menghormati proses mahkamah dan menantikan semua bukti-bukti dibentangkan untuk tatapan rakyat agar mereka tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku,’ kata Muda dalam kenyataan satu muka surat, hari ini.
Awal hari ini, Syed Saddiq diheret ke Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan.
Ahli Parlimen Muar itu dituduh pecah amanah dana dan pertuduhan kedua, pertuduhan salah guna harta.
Dalam pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa melalukan pecah amanah terhadap wang Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta pada tahun 2020 sementara tuduhan kedua salah guna harta dengan menggunakan wang sumbangan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 sebanyak RM120,000 untuk tujuan lain.
Syed Saddiq yang diwakili Gobind Singh Deo dan Datuk S Ambiga bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.
Mengulas lanjut, Muda berkata, pihaknya tidak gentar dengan dua pertuduhan itu dan tidak akan menghalang pihaknya untuk terus menentang kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Berani kerana benar, percayalah pendakwaan ini tidak akan sedikit pun menutup semangat kami dalam menentang, menyuarakan dan membantah kegagalan, kebodohan dan kerosakkan yang dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional,” kata Muda lagi.
Mengikut kertas pertuduhan, Syed Saddiq yang didakwa atas kapasiti beliau sebagai Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah melakukan pecah amanah ke atas dana Armada.
Syed Saddiq didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui satu cek tanpa kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral di sini, pada 6 Mac 2020. – MalaysiaGazette