Home Utama Operasi pejabat kerajaan mengikut Fasa PPN mulai 26 Julai – KSN

Operasi pejabat kerajaan mengikut Fasa PPN mulai 26 Julai – KSN

Foto hiasan

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengeluarkan garis panduan pengoperasian pejabat kerajaan mengikut fasa di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkaitan kehadiran, kaunter perkhidmatan dan mesyuarat yang akan berkuat kuasa mulai 26 Julai ini.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan pengumuman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai perubahan kadar peratusan kehadiran ke pejabat bagi sektor awam berdasarkan perkembangan positif kadar vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ismail Sabri baru-baru ini mengumumkan kerajaan melakukan sedikit perubahan ke atas prosedur operasi standard (SOP) di bawah PPN bagi Fasa Satu yang membenarkan 40 peratus kehadiran di pejabat bagi sektor awam manakala perkhidmatan perakaunan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini mengeluarkan arahan bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya bagi pejabat sektor awam di negeri Fasa Satu PPN namun tidak termasuk petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan, manakala hanya 20 peratus kehadiran di pejabat dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR.

Mohd Zuki berkata, ketua jabatan perlu menentukan kehadiran pegawai yang diperlukan di pejabat berdasarkan garis panduan tersebut manakala pelaksanaan BDR hendaklah berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5/2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah.

Mengenai pengoperasian Fasa Dua PPN, Mohd Zuki berkata, kehadiran di pejabat adalah tidak melebihi 60 peratus manakala 40 peratus bekerja dari rumah (BDR), dengan tidak termasuk petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

“Kehadiran pelanggan adalah secara janji temu di kaunter perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi pada kadar 60 peratus,” katanya serta menambah mesyuarat atau perjumpaan secara fizikal adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Mengenai pengoperasian pejabat bagi Fasa Tiga PPN, Mohd Zuki berkata 80 peratus kehadiran di pejabat adalah dibenarkan manakala 20 peratus adalah BDR, kecuali petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan sahaja dibenarkan untuk hadir bekerja.

“Kaunter perkhidmatan dibenarkan beroperasi pada tahap 80 peratus dengan kehadiran pelanggan tanpa janji temu,” kata Mohd Zuki.

Menurutnya, mesyuarat adalah dibenarkan secara hibrid sama ada perjumpaan fizikal atau dalam talian, namun kapasiti adalah tidak melebihi 50 peratus keluasan bilik mesyuarat.

Bagi pengoperasian pada Fasa Empat PPN pula, keberadaan di pejabat adalah dibenarkan bagi semua kakitangan awam manakala BDR diberikan kepada mereka yang memerlukan sahaja.

Katanya, operasi kaunter perkhidmatan dibenarkan sepenuhnya dengan kehadiran pelanggan tanpa memerlukan janji temu, manakala mesyuarat dibenarkan secara fizikal namun digalakkan diadakan secara dalam talian atau hibrid.

“Ketua jabatan perlu memastikan semua SOP yang dikeluarkan oleh MKN dipatuhi pada setiap masa untuk mencegah penularan wabak COVID-19 di pejabat masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette