KUALA LUMPUR – Seorang lagi penyanyi Malaysia, Layla Sania menghiasi papan iklan digital terkenal di Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) selepas Yuna.
Wajah Layla dipaparkan bagi mewakili penyanyi dari Malaysia dan Singapura dalam kempen EQUAL yang dikendalikan platform muzik digital, Spotify untuk memupuk ekuiti dan mengetengahkan artis wanita dari seluruh dunia.
Foto Layla dipertontonkan pada papan iklan digital itu pada 20 Julai lalu
Melalui kempen EQUAL, 35 senarai main (playlist) tempatan mewakili artis dari lebih 50 negara dikategorikan.
Layla atau nama penuh, Layla Sania Khairuzikri bersyukur diberi peluang menjayakan kempen EQUAL.
Penyanyi berusia 19 tahun naungan Warner Music itu adalah bekas pelajar di SMJK(C) Chong Hwa, Kuala Lumpur dan terkenal dengan kemampuan menyanyikan lagu Mandarin.
Layla melancarkan single pertama dalam bahasa Mandarin berjudul By Your Side, Januari lalu.
Layla pernah muncul dengan dua single dalam Bahasa Malaysia berjudul Lakaran pada Mac tahun lalu dan Que Sera Sera pada 2019. – MalaysiaGazette