Home Nasional Pemberian vaksin pandu lalu USM Pulau Pinang bermula hari ini

Pemberian vaksin pandu lalu USM Pulau Pinang bermula hari ini

Pemberian vaksin secara pandu lalu di USM Pulau Pinang bermula hari ini.

GEORGE TOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama yang menyediakan pemberian vaksin secara pandu lalu di Pulau Pinang.

Kaedah pandu lalu itu merupakan satu daripada dua Pusat pemberian Vaksin (PPV) awam yang disediakan USM di negeri ini dalam usaha mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pengerusi Jawatankuasa Induk PPV@USM merangkap Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Prof Dr Md Roslan Hashim berkata, pemberian vaksin secara pandu lalu dilaksanakan selepas kejayaan pembukaan PPV secara statik di Dewan Utama Pelajar bermula 21 Jun lalu.

Jururawat, Nur Atiqah Abdul Rahim memberikan suntikan kepada penerima vaksin secara pandu lalu di USM di sini hari ini.

Buat permulaan selama tiga hari ini kaedah pemberian vaksin secara pandu membabitkan 100 penerima sehari dan ia akan ditingkatkan kepada 200 penerima mengikut keadaan semasa.

“Bagaimanapun, penerimanya tertakluk kepada beberapa kriteria antaranya penerima vaksin dos kedua sahaja, bukan pemandu serta 15 minit tempoh pemerhatian yang ditentukan melalui dos pertama.

“Seperti PPV secara statik, PPV pandu lalu USM juga dikendalikan sepenuhnya oleh warga USM sendiri yang melibatkan sukarelawan staf akademik, bukan akademik, staf perubatan, pelajar serta pesara USM,” katanya di sini hari ini.

Sebanyak empat kaunter pemberian vaksin secara pandu lalu disediakan pihak USM.

Hadir sama, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Faizal Rafiq Mahamd Adikan.

Tambah Md Roslan, USM juga sentiasa bersedia untuk sama-sama membantu menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan hasrat kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok dapat direalisasikan.

Sementara itu, salah seorang penerima vaksin secara pandu lalu, Raffidah Hussain, 38,  rasa selesa menerima suntikan vaksin secara pandu lalu.

Jelas staf USM itu, dirinya masih gemuruh walaupun suntikan yang diterima hari ini merupakan pemberiaan dos kedua.

Raffidah (kanan) mendengar penjelasan pemberian vaksin Sinovac sebelum menerima suntikan secara pandu lalu di USM, Pulau Pinang hari ini.

“Saya cuak bila sampai sini tapi dalam masa yang sama saya selesa dan suka pemberian secara pandu lalu ini kerana ia mudah serta cepat berbanding penerimaan secara statik di dewan sebelum ini.

“Saya hanya ambil masa 10 minit untuk lengkapkan penerimaan suntikan berbanding  sebelum ini hampir 30 minit di dewan ia tidak termasuk mahu mencari parkir kereta serta mencari laluan masuk dewan.

“Selain itu, saya juga rasa bersemangat kerana ditemani suami ketika menerima suntikan secara pandu lalu hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.

Khew Seiw kelihatan tenang ketika menerima suntikan vaksin Sinovac secara pandu lalu di USM hari ini.

Menurut Wong Khew Seiw, 67, dia berasa lega berjaya melengkapkan penerimaan vaksin yang dilakukan kerajaan menerusi PICK.

“Rasa selamat dan lega sikit bila sudah lengkap vaksin, ini akan memberikan banyak manfaat kepada semua rakyat yang sudah lama berkurung tanpa sebarang aktiviti luar bersama ahli keluarga,” ujarnya. – MalaysiaGazette