KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memuji prestasi cemerlang yang ditunjukkan pemanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh yang berjaya mengatasi catatan peribadi terbaiknya ketika aksi penentuan ranking acara recurve individu Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.
Syaqiera, 21, beraksi cemerlang apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-43 dalam aksi penentuan ranking acara recurve individu, apabila dia mengutip 630 mata daripada 72 anak panah di Yumenoshima Park Archery Field.
Catatan itu menyaksikan dia yang menghuni ranking ke-355 dunia berjaya mengatasi rekod peribadi terbaiknya sebelum ini dengan 619 mata.
Atlet berasal dari Segamat, Johor itu turut mengatasi catatan terbaik pemanah wanita negara di pentas Olimpik milik Mon Redee Sut Txi dengan 626 mata yang dilakukan ketika Olimpik Athens 2004.
“Saya juga dimaklumkan markah 630 ini adalah pencapaian peribadi terbaik buat Syaqiera dan secara langsung merekodkan sejarah buat pertama kali di temasya Olimpik buat sukan memanah bagi individu wanita. Syabas dan teruskan prestasi ini,” kata Reezal menerusi ciapan di Twitter miliknya.
Syaqiera akan bertemu atlet Russia, Elina Osipova untuk aksi pusingan pertama yang dijadual berlangsung, Selasa ini.