KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memulakan siasatan ke atas helikopter Bell 505 yang dikendalikan oleh Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) yang mendarat di padang Majlis Bandaraya Ipoh, Perak pada jam 10 pagi, semalam.
Siasatan awal mendapati helikopter tersebut berlepas pada jam 9.08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Ipoh dan kembali ke Subang pada jam 11.02 pagi, seperti yang difailkan dalam pelan penerbangan.
CAAM telah menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikopter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam PeraturanPeraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo.
“CAAM juga akan membuat semakan sama ada pengendali dan kru pengendali helikopter terlibat melaksanakan operasi penerbangan itu dalam skop yang diluluskan atau sebaliknya,” tambah beliau.
Beliau mengulas kejadian kemunculan helikopter mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil tempahan nasi kandar daripada sebuah restoran terkemuka di bandar raya ini.
Terdapat dua individu dalam helikopter berkenaan dipercayai milik syarikat swasta, ‘ditugaskan’ untuk mengambil tempahan nasi kandar yang dikenali sebagai nasi ganja.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan kejadian itu berkata, pemeriksaan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati helikopter berkenaan hanya diberi kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).
CAAM menegaskan bahawa semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan umum seperti tertakluk dalam CAD 2 (Rules of the Air), Chapter 3.1. Protection of Persons and Property serta peraturan-peraturan lain yang berkaitan.
Tambahnya, CAAM akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam. – MalaysiaGazette
Polis buka siasatan helikopter bawa nasi ganja ke ibu negara