JOHOR BAHRU – Polis Johor akan mengambil keterangan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan beberapa individu lain yang didakwa mengingkari prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keterangan diambil untuk melengkapkan kertas siasatan.
“Kertas siasatan ini kita akan buka mengikut Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.
“Polis Johor akan memanggil terlebih dahulu Datuk Mohd Rashid Hasnon dan beberapa individu yang berada dalam gambar tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Terdahulu tular di laman sosial ‘Ops Johor’ gambar Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat bersama dua wanita yang didakwa isteri dan anak beliau sedang menikmati jamuan di sebuah ladang pertanian di Rengit, Batu Pahat.
Rashid sebelum ini juga pernah tular dengan isu makan durian beramai-ramai dalam sebuah kebun yang juga berlaku di Batu Pahat.
Kertas siasatan berhubung isu “kenduri durian” juga jelas Ayob telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara, 14 Julai lalu dan masih menunggu arahan lanjut untuk tindakan seterusnya.
“Saya juga dapat komen dalam Facebook dan sebagainya, yang mendakwa polis ‘double standard’, kalau orang awam terus diberi kompaun, kalau melibatkan VIP kita buka kertas siasatan.
“Saya ingin memberitahu, ini semua salah faham kerana orang ramai perlu faham kes-kes yang kita keluarkan saman terus dibuat semasa kita pergi buat pemantauan. Jika ada perlanggaran SOP ketika itu, kita terus keluarkan saman kepada pesalah.
“Tetapi dalam kes-kes tertentu bukan melibatkan VIP sahaja, benda yang diviralkan dalam media sosial, kita perlu menjalankan siasatan terlebih dahulu,” jelas beliau.-MalaysiaGazette