KUALA LUMPUR – Tiada kesesakan yang berlaku di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Kompleks Sukan Bandar Tun Razak, Cheras hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette selama lebih sejam mendapati situasi di CAC berkenaan berada dalam keadaan terkawal dan mengikut protokol kesihatan awam yang ditetapkan.
Beberapa petugas turut dilihat membantu orang awam yang hadir untuk memotong gelang berwarna merah jambu serta mendapatkan penilaian kesihatan dari pegawai bertugas di CAC tersebut.
Manakala di luar dewan terdapat lebih lapan buah khemah serta kerusi disediakan bagi orang awam yang sedang menunggu giliran.
Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette, orang awam yang hadir ke CAC berkenaan perlu meletakkan kenderaan milik mereka di sepanjang bahu jalan berikutan laluan masuk ke kompleks itu ditutup menggunakan kon berwarna jingga.
Semalam, beberapa keping gambar memaparkan orang awam beratur panjang sehingga ke dalam Taman Tasik Permaisuri tular di laman Facebook komuniti Bandar Tun Razak.
Beberapa pengguna Facebook turut mendakwa mereka terpaksa menunggu di antara tiga hingga enam jam untuk dipakaikan gelang berwarna merah jambu selain terdapat beberapa individu yang dikatakan pengsan gara-gara berdiri terlalu lama. – MalaysiaGazette