KUALA LUMPUR – Penyanyi rap, Caprice terpaksa meraikan sambutan ulang tahun kelahiran yang ke-33 seorang diri hari ini tanpa keluarga atau teman rapat di Mesir.
Caprice atau Ariz Ramli meninggalkan Malaysia kira-kira 32 hari bagi menyertai misi kemanusiaan ke Gaza di Palestin.
“Ini adalah hari yang paling sukar dalam hidup saya. Ini juga kali pertama kita beribadah dan berhijrah seorang diri di negara orang.
“Saya tidak pernah rasa kesunyian seperti ini tapi rasa begitu dekat dengan Allah dalam tempoh lima hari sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya di sini hari ini.
Caprice yang dilahirkan pada 25 Julai 1988 mencetuskan kontroversi sejak 16 Julai lalu berhubung cerita belakang tabir membabitkan personaliti dakwah, Ebit Lew, ketika berada di Palestin.
Mengulas lanjut, Caprice turut memanjat kesyukuran dengan apa yang terjadi.
“Alhamdulillah atas segala yang sudah berlaku, insyaAllah satu hari nanti semua ini akan menjadi logik kepada anda,” katanya.
Caprice berangkat seorang diri ke Mesir pada 23 Jun lalu bagi mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin dan sehingga kini dia belum dibenarkan masuk ke wilayah bergolak itu.
Caprice tidak pasti bila akan pulang ke tanah air selepas mengumumkan keputusan untuk terus berada di sana dan meneruskan misi seorang diri pada 20 Julai lalu.
Nama Caprice terus hangat menjadi bualan ramai selepas Ebit melakukan sidang media bagi menjelaskan pelbagai tuduhan pada Khamis lalu. – MalaysiaGazette