Home Utama Dr Noor Hisham rayu doktor jangan sertai mogok, ingat lafaz ikrar

Dr Noor Hisham rayu doktor jangan sertai mogok, ingat lafaz ikrar

The Covid-19 patients at Tengku Ampuan Rahimah Hospital (HTAR) in Klang, Selangor. PIX: MalaysiaGazette admission rate cases
The Covid-19 patients at Tengku Ampuan Rahimah Hospital (HTAR) in Klang, Selangor. PIX: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyeru semua doktor dan petugas kesihatan lantikan kontrak supaya tidak menyertai demonstrasi hartal jam 11 pagi esok di hospital-hospital di seluruh negara.

Beliau turut mengingatkan kumpulan tersebut bahawa tindakan seumpama itu mempertaruhkan nyawa para pesakit dan juga kerjaya mereka.

Malah, katanya, para doktor dan petugas kesihatan perlu ingat semula ikrar sumpah setia ‘primum non nocere’  bahawa tugas mereka adalah semata-mata untuk pesakit, tanpa ada niat mahu memudaratkan pesakit.

“Ingatlah, banyak nyawa menjadi taruhan kerana demonstrasi boleh membahayakan nyawa pesakit dan kerjaya anda,” ujar Dr Noor Hisham dalam hantaran di laman Facebook malam ini.

Menurut beliau, kerajaan memahami tuntutan mereka supaya diserap ke jawatan tetap, dan telah mengumumkan penyambungan tempoh kontrak selama dua tahun lagi untuk proses seterusnya.

Katanya, kerajaan memerlukan masa untuk meminda Akta Pencen supaya jawatan tetap dapat ditawarkan dengan kebenaran pemberian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan bukan pilihan pencen.

Selain itu, menerusi tawaran baharu itu, kerajaan juga membenarkan petugas kesihatan di bawah lantikan kontrak melanjutkan pengajian kepakaran mereka dan akan ditawarkan lantikan secara tetap, sejurus Akta Pencen dipinda.

Dr Noor Hisham seterusnya mengingatkan lagi bahawa keselamatan pesakit adalah keutamaan para petugas kesihatan dan negara memerlukan khidmat mereka.

Dianggarkan kira-kira 23,000 doktor dan petugas kesihatan termasuk pergigian dan farmasi berkhidmat secara kontrak di hospital-hospital kerajaan yang dikatakan akan menyertai mogok esok. – MalaysiaGazette