Home Ekonomi Etiqa lancar Dana Dividen Ekuiti Asian Premier

Etiqa lancar Dana Dividen Ekuiti Asian Premier

Siti Nita Zuhra, Ketua Pegawai Bancassurance, Etiqa

KUALA LUMPUR –  Etiqa melancarkan Dana Dividen Ekuiti Asian Premier yang boleh dilaburkan individu melalui Dynamic Invest, sebuah pelan insurans tunggal terbuka berkaitan pelaburan.

Pelan itu ditaja jamin oleh Etiqa Life Insurance Berhad dan diedarkan secara eksklusif oleh Maybank.

Etiqa dalam satu kenyataannya berkata, Dana Dividen Ekuiti Asian Premier sangat sesuai untuk individu yang memilih aliran pendapatan yang berterusan dan lebih cenderung kepada strategi pelaburan berisiko tinggi melalui pendedahan kepada turun naik ekuiti Asia Pasifik dan pergerakan kadar pertukaran asing dengan kemungkinan hasil dividen yang menarik dan pertumbuhan modal dalam jangka sederhana hingga panjang.

Dana itu menyasarkan untuk membayar dividen setiap setengah tahun yang dihasilkan daripada sebarang dividen  yang berpotensi dibayar oleh syarikat-syarikat dasar yang dilaburkan oleh dana sasaran.

Tambahnya, Dana Dividen Ekuiti Asian Premier telah direka untuk memberikan pendapatan dan pertumbuhan modal dengan melabur dalam ekuiti Asia Pasifik, kecuali Jepun, dalam jangka masa pelaburan yang sederhana hingga panjang.

Sekurang-kurangnya 95 peratus dana dilaburkan dalam dana ekuiti Asia Pasifik yang diluluskan dan selebihnya dalam bentuk tunai dan simpanan tetap. Dana Sasaran di dalam panel diuruskan oleh Pengurus Dana terkemuka seperti JP Morgan Asset Management dan Schroder Investment Management.

Menurut Ketua Pegawai Bancassurance Etiqa, Siti Nita Zuhra Mohd Nazri, pelancaran dana itu tepat pada masanya, kerana pendapatan bagi syarikat di Asia dijangka pulih apabila vaksinasi COVID-19 menjadi lebih luas dan persekitaran kadar faedah yang rendah akan mendorong untuk memperoleh pendapatan dividen. – MalaysiaGazette