KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam antara 10 individu yang ditahan ketika sedang leka berparti yang melibatkan arak dan dadah dengan pasangan masing-masing dalam serbuan di sebuah apartmen di Jalam Imbi, di sini, malam tadi.
Penahanan itu turut membabitkan seorang bekas kakitangan agensi kerajaan berusia 36 tahun yang dibuang kerja.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis menahan lima lelaki serta lima wanita dipercayai pasangan kekasih berusia antara 18 hingga 40 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis juga menemui dan merampas alat pembesar suara serta hampir 20 tin minuman keras berwarna hijau dan berjenama yang dipercayai digunakan mereka untuk berhibur,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan itu.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan dan soal siasat lanjut ke atas lima pasangan kekasih itu mendapati mendapati dua lelaki telah merentas daerah tanpa kebenaran, dari Kajang dan Sungai Buloh, untuk menyertai parti tersebut.
“Hasil soal siasat dilakukan mendapati seorang daripada suspek yang ditahan menyewa apartmen ini selama dua hari sejak Jumaat dengan bayaran RM130 sehari.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap kelima-lima pasangan kekasih itu mendapati semua suspek berkenaan positif dadah ketamin, methaphetamine, amphetamine, benzodiazepines kecuali seorang wanita negatif dadah serta mereka dipercayai mengambil bahan terlarang itu di apartmen berkenaan,” katanya.
Menurut Mohamad Zainal, pihaknya mengeluarkan kompaun berjumlah RM32,000 ke atas lapan individu, iaitu sebanyak RM4,000 setiap orang, selepas didapati meerka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas kesalahan berkumpul tanpa penjarakan fizikal dan menghadiri parti.
Selain itu, polis turut mengeluarkan kompaun RM10,000, iaitu RM5,000 setiap seorang, terhadap dua individu yang didapati merentas daerah tanpa kebenaran dari Sungai Buloh dan Kajang, ujarnya.
“Tindakan kompaun ke atas kesemua 10 individu itu diambil mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Kesemua suspek berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Mohamad Zainal berkata, semasa serbuan seorang gadis dari Kota Kinabalu mengaku dia menerima pelawaan daripada kenalannya untuk berhibur di apartmen berkenaan.
“Saya memang duduk di Kepong bersama keluarga dan bekerja di kiosk di pusat membeli belah terkemuka sebelah residensi ini,” katanya. – MalaysiaGazette