Home Sukan QPR tewaskan Man United dalam aksi persahabatan

QPR tewaskan Man United dalam aksi persahabatan

Pemain-pemain Queens Park Rangers meraikan kemenangan selepas berjaya menundukkan Manchester United di Stadium Kiyan Prince Foundation

LONDON – Manchester United mengalami kekecewaan di London selepas kelab Liga Kejuaraan, Queens Park Rangers merakamkan kemenangan 4-2 ke atas skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer dalam aksi persahabatan.

Beraksi di Stadium Kiyan Prince Foundation, Jesse Lingard membuka jaringan untuk United selepas tiga minit perlawanan bermula, namun ia hanya bertahan selama empat minit apabila tandukan Charlie Austin menyamakan kedudukan buat tuan rumah.

Pada hari Solskjaer meraikan kontrak lanjutan di Old Trafford bertukar suram apabila QPR bangkit pada separuh masa kedua.

Solskjaer yang menyambung kontrak baharu selama tiga tahun sebelum sepak mula, membariskan pasukan terkuat dengan Tom Heaton, Aaron Wan-Bissaka, Brandon Williams, Axel Tuanzebe, Andreas Pereira, Nemanja Matic, Daniel James, Mason Greenwood dan Lingard membarisi kesebelasan utama.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada babak pertama namun QPR pantas di depan dengan jaringan 4-1 selepasĀ  itu.

Lyndon Dykes meletakkan pasukan Liga Kejuaraan itu di depan pada minit ke-53 sebelum lima minit kemudian Moses Adubajo menjadikan kedudukan 3-1 dan Dykes menambah gol keempat enam minit kemudian.

United memperoleh gol kedua menerusi pemain remajanya, Anthony Elanga pada minit ke-73.

Skuad bimbingan Solskjaer akan meneruskan persediaan untuk musim baharu dengan bertemu Brentford di halaman sendiri, Rabu ini. – MalaysiaGazette