Home Nasional Semua Ahli Parlimen dibenar hadir sidang Dewan Rakyat – Azhar

Semua Ahli Parlimen dibenar hadir sidang Dewan Rakyat – Azhar

Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Semua ahli Parlimen, termasuk yang belum menerima vaksin sepenuhnya dibenar menghadiri sesi khas sidang Dewan Rakyat yang bermula esok.

Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen yang belum menerima dua dos suntikan dinasihatkan mendapatkannya secepat mungkin, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

“Untuk sidang khas yang akan datang ini dan sesi berikutnya, kami telah memutuskan untuk mengizinkan semua anggota Parlimen memasuki Dewan, walaupun mereka yang belum diberi vaksin sepenuhnya, tetapi kami akan menasihati mereka untuk sangat berhati-hati (dengan risiko Covid-19 jangkitan).

“Ini kerana kita tidak dapat menghalang mereka untuk datang (Parlimen) bagi melaksanakan tugas sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas secara hibrid.

Menurut Azhar lagi, perkara sama turut disyaratkan kepada pegawai dan pengiring menteriĀ  serta kepada staf kontrak lain seperti pengawal, pemandu dan mereka yang akan mengawal anggota Parlimen dan anggota Kabinet ke Dewan.

“Tetapi kita memerlukan mereka untuk diberi vaksin sepenuhnya. Kami akan memeriksa (status vaksinasi mereka) sebelum mereka dibenarkan masuk.

“Sekiranya mereka tidak diberi vaksin sepenuhnya, kita akan halang mereka memasuki bangunan Parlimen,” katanya.

Ditanya mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Parlimen dalam memastikan persekitaran bangunan bebas daripada Covid-19, Azhar memberitahu setiap orang akan diminta menunjukkan hasil ujian saringan masing-masing terlebih dahulu.

Sebelum ini, Azhar memaklumkan, seramai 1,008 orang yang dijangka memasuki Parlimen pada Isnin ini telah menjalani ujian calitan Covid-19 sementara anggota Parlimen telah melakukannya lebih awal.

Setakat ini, 90 peratus kakitangan Parlimen telah menerima kedua-dua dos suntkan tersebut sementara 95 peratus anggota Parlimen telah diberi vaksin sepenuhnya.

“Selebihnya mereka telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos. Empat Ahli Parlimen belum menerima kedua-dua dos tersebut, mungkin disebabkan oleh faktor-faktor tertentu yang tidak membolehkan mereka melakukannya.

“Sebulan yang lalu, saya ada bercakap dengan Menteri Koordinator Program Imunisasi Nasional Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin dan dia telah bersetuju untuk memberi vaksin kepada semua kakitangan Parlimen termasuk yang lain,” ujarnya.

Awal bulan ini, Parlimen memaklumkan akan melaksanakan sidang khas selama lima hari bermula dari 26 hingga 29 Julai, dan 2 Ogos.

Sesi Parlimen penuh berikutnya akan diadakan selama 15 hari dari 6 September hingga 30 September manakala, sesi kedua untuk 2021, Dewan Rakyat akan bersidang selama 32 hari dari 25 Oktober hingga 16 Disember. – MalaysiaGazette