KUALA LUMPUR – Anak Jati Gombak Setia melaksanakan tanggungjawab sosial apabila menghantar bantuan barang keperluan dapur kepada kira-kira 40 buah keluarga Orang Asli yang tinggal di Gombak Setia.
Pengasas pertubuhan bukan kerajaan itu (NGO) berkata, Mohamed Salim Mohamed Ali, program itu diadakan bagi memastikan komuniti itu tidak yang terputus barang keperluan dapur dalam tempoh penguatkuasaan Program Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.
Jelas beliau, sebanyak 650 bantuan makanan telah disediakan termasuk kepada barisan petugas hadapan sebanyak 120 bungkusan dalam menghargai pengorbanan mereka.
“Anak Jati Gombak Setia hendak pastikan tidak ada komunti yang tercicir dan sebab itu kita turun ke padang setiap minggu dalam usaha memastikan hendak bantuan ini betul-betul sampai.
“Kita harap bantuan makanan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban masyarakat terutama Orang Asli yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Perjalanan (PKP) dan PPN ini,” katanya.
Anak Jati Gombak Setia yang tubuhkan sejak 2010 aktif membantu penduduk di kawasan itu dengan menyampaikan bantuan makanan sepanjang masa.
Malah sejak PKP 1.0 lalu, mereka telah menyatuni lebih 2,000 individu dengan peruntukan melebihi RM15,000.
Mohamed Salim menambah, pihaknya komited membantu golongan yang kurang bernasib baik sepanjang masa dan bukan hanya bermusim ketika hendak menyambut sesuatu perayaan.
Jelas beliau, apatah lagi, ketika pandemik dan pelaksanaan PPN, pasti ada golongan yang terdesak dalam meneruskan kelangsungan hidup.
“Menyedari senario itu, Anak Jati Gombak Setia tetap meneruskan aktiviti-aktiviti kebajikan dalam menyantuni masyarakat tanpa mengira agama dan kaum setiap minggu.
“Bungkusan berupa barangan dapur diagihkan kepada keluarga-keluarga dan individu-individu yang memerlukan bagi meringankan beban mereka,” katanya. – MalaysiaGazette