KUALA LUMPUR – Tanda-tanya mengenai ketiadaan Brendan Gan pada perlawanan bertemu Kuala Lumpur (KL) City, pada Sabtu lalu terjawab apabila ketua pasukan Selangor itu disahkan menghidap penyakit kanser testis.
Kelibat Brendan menjadi persoalan dalam kalangan penyokong selepas barisan kesebelasan utama Selangor memberikan penghargaan dengan turut sama membawa jersi pemain berusia 33 tahun itu ketika mengambil foto pasukan pada perlawanan di Stadium Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu.
Namun perkembangan terkini yang disiarkan oleh Selangor FC pada laman sosial rasmi kelab menjawab segala spekulasi.
“Dengan rasa berat hati, kami di SFC ingin memaklumkan tentang keadaan Ketua Pasukan Selangor FC.
“Untuk makluman, Brendan telah didapati menghidap kanser testis dan telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan kini sedang dalam pemantauan pakar perubatan.
“Walau diuji, Brendan tetap optimis dan kuat. Semoga kita semua dapat terus mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada beliau sepanjang tempoh pemulihannya.
“Brendan tekad untuk kembali pulih secepat mungkin dan tidak sabar untuk kembali semula bersama pasukan,” menurut kenyataan itu.
Brendan menjadi sandaran utama buat Selangor di jentera tengah selepas diikat skuad ‘Gergasi Merah Kuning’ itu pada musim lalu.
Selangor FC kini menduduki tangga kelima saingan Liga Super Malaysia 2021. – MalaysiaGazette