KUALA LUMPUR – Majoriti golongan M40 dan T20 menuntut pengeluaran i-Citra sekurang-kurangnya RM10,000 dan moratorium tanpa faedah terakru kerana mereka terjejas akibat Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, hakikat itu berlaku kerana kedua-dua golongan berkenaan antara yang kehilangan kerja dalam masa yang sama mempunyai tanggungan isi rumah di antara RM4,000 hingga RM10,000 ke atas.
Malah katanya, ada yang mengadu sudah mula kehabisan simpanan yang mula digunakan sejak Januari tahun ini untuk melunaskan komitmen yang tertunggak.
“M40 ini adalah pendapatan isi rumah (campur gaji suami dan isteri) RM4,851-RM10,970 – ramai salah satu pasangan yang hilang kerja, cuti tanpa gaji, separuh gaji dll hingga mereka jatuh ke B40.
“Begitu juga T20 iaitu pendapatan isi rumah RM10,970 ke atas yang tidak dapat apa-apa bantuan sepanjang PKP, tapi mereka ini kebanyakannya yang merana akibat dibuang kerja, dicutikan tanpa gai, separuh gajia bahkan hilang punca pendapatan.
“Komitmen bulanan mereka sebelum ini waktu gaji mereka campur suami isteri masih mampu dilangsaikan termasuk sewa/ansuran rumah, ansuran kereta (biasanya minimum dua kereta seisi rumah), hutang pinjaman peribadi, kad kredit dan bil-bil utiliti lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian dalam masa yang sama menafikan Pergerakan Pemuda UMNO menghasut rakyat dengan memainkan sentimen kemarahan apabila membangkitkan keperluan dua golongan ini dalam wakti pandemik.
“Inilah antara realiti rakyat yang tertekan sekarang. Bukan saja-saja buat cerita ataupun dituduh Pemuda UMNO nak menghasut atau sengaja nak mainkan sentimen marah rakyat,” tambah Asyraf.
Meskipun pernah bergaji besar namun menuruit Asyraf pada waktu ini ada yang terpaksa mula mencatu makanan demi menampung perbelanjaan sekeluarga.
“Ramai hakikatnya dah mula kena catu makanan walaupun sebelum ini bergaji besar. Ini semua menyumbang juga kepada ‘mental illness’ atau menjejaskan kesihatan mental rakyat yang amat tertekan dengan pelbagai komitmen tertunggak yang tidak dapat dilangsaikan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut jelasnya, rata-rata golongan M40 dan T20 mempunyai simpanan Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) lebih daripada RM200,000, justeru atas dasar tersebut dan terdesak dengan perkembangan semasa maka ada yang mahu mengeluarkan i-Citra sebanyak RM10,000.-MalaysiaGazette