Home Utama Menteri, timbalan menteri UMNO letak jawatan jika darurat diteruskan

Menteri, timbalan menteri UMNO letak jawatan jika darurat diteruskan

Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Ahli-Ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan pendirian parti untuk mengusulkan agar Parlimen membahaskan dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka juga mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.

Menurut belliau, sekiranya usul itu gagal dan darurat diteruskan selepas 1 Ogos maka semua ahli Parlimen, timbalan menteri dan pengerusi-pengerusi syarikat milik kerajaan daripada UMNO akan meletakkan jawatan menenuhi ketetapan parti pada 25 April lalu.

Katanya, UMNO menetapkan keputusan UMNO itu berikutan penolakan rakyat yang UMNO wakili terhadap Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya yang ternyata lebih banyak memudaratkan rakyat.

Menurut beliau, ini termasuklah kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan rakyat termasuk pelaksanaan kompaun-kompaun yang melampau dan bersifat ‘dwi-standard’.

“Pelaksanaan Darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani Pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Ahmad Zahid berkata, UMO juga membuat keputusan itu kerana memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan.

Katanya, UMNO juga memahami implikasi Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan bahawa Ordinan-Ordinan Darurat akan terus berjalan selama enam bulan sekiranya tidak dibatalkan sebagaimana peruntukan 150(3).

Ia sekaligus bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 29 Oktober 2020, 25 April 2021, 16 Jun 2021 dan yang terbaru 7 Julai 2021.

Beliau berkata, UMNO juga mendokong dan mentaati Yang di-Pertuan Agong dan  Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan tiada keperluan untuk Darurat diteruskan dan segala Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Memenuhi dan mentaati ketetapan parti pada 25 April 2021 bahawa sekiranya Darurat (Proklamasi dan Ordinan-Ordinannya) diteruskan selepas 1 Ogos 2021, maka “Ahli-Ahli Parlimen akan menarik sokongan dan Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Pengerusi-Pengerusi GLC daripada UMNO akan meletakkan jawatan,” katanya.

Ketetapan itu dibuat sempena sidang khas Parlimen bermula Isnin. – MalaysiaGazette