Home Ekonomi PKBM harap kontraktor sektor pembinaan tak kompromi SOP

PKBM harap kontraktor sektor pembinaan tak kompromi SOP

Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berharap sektor pembinaan yang telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya tidak akan berkompromi dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat untuk mengawal penularan Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berharap sektor pembinaan yang telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya tidak akan berkompromi dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat untuk mengawal penularan Covid-19.

Presidennya Datuk Azman Yusoff berkata, kebenaran yang diberikan perlu seiring dengan kerjasama daripada pemain industri.

“Kami bersetuju dengan cadangan Perdana Menteri dan sudah tentu kebenaran ini perlu juga mengikuti SOP yang ketat dan keseluruhan tenaga kerja telah divaksin baik bagi sektor awam mahupun swasta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujar beliau, sektor pembinaan merupakan pemangkin sektor ekonomi negara dengan kadar yang ‘multiplayer effect’ yang sangat tinggi.

Namun kata Azman, akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan ramai kontraktor yang terjejas dan terkesan.

“Ketika ini ramai kontraktor terkesan dan semakin tertekan baik Kontraktor dari G1 hinggalah ke G7 yang merasakan keperitan Pandemik ini dan pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta Kementerian Kerja Raya (KKR) banyak memberikan bantuan terutama Inisiatif bersama CIDB dalam program CIVAC-Construction Industry Vaccination Program yang memperuntukkan tambahan sebanyak 100,00 dos Vaksin lagi bagi petugas Industri Binaan bermula Ogos ini,” tambahnya.

Terdahulu Azman mewakili PKBM menyambut baik keputusan kerajaan untuk membenarkan sektor pembinaan beroperasi sepenuhnya serta-merta.

Pengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Julai yang lalu, selepas mesyuarat Kabinet mengambil kira, tidak sampai 40 peratus bajet pembangunan yang diperuntukkan digunakan tahun ini berikutan sektor pembinaan tidak dapat beroperasi ketika ini.-MalaysiaGazette