Home Nasional Polis siasat 50 peserta Hartal Doktor Kontrak di HKL kerana ingkar SOP...

Polis siasat 50 peserta Hartal Doktor Kontrak di HKL kerana ingkar SOP – Mohamad Zainal

Sekumpulan doktor kontrak berkumpul menyertai Hartal Doktor Kontrak di Hospital Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 26 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 doktor kontrak yang terlibat dalam himpunan Hartal Doktor Kontrak di Hospital Kuala Lumpur jam 11 pagi tadi akan dipanggil dalam masa terdekat ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan kumpulan itu ternyata melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dikuatkuasakan kerajaan dalam memerangi Covid-19.

Katanya, polis mengesan perhimpunan doktor-doktor kontrak yang dinamakan sebagai Hartal Doktor Kontrak sekitar 11.15 pagi tadi di tingkat enam bangunan tempat letak kereta di hospital tersebut.

“Siasatan awal mendapati terdapat lebih kurang 50 orang doktor kontrak yang berkhidmat di HKL membuat perhimpunan memaparkan plakat Doktor Kontrak dan Pakar Masa Depan selain slogan Tetap Lawan dan juga Nak Tetap Bukan Lanjut Kontrak.

“Dalam tempoh PKP ini sebenarnya apa-apa perhimpunan tak boleh dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 1988 atau Akta 342 yang diperuntukkan di bawah Kementerian Kesihatan,” katanya.

Menurut beliau, Peraturan 10 menyatakn sesiapapun dalam mana-mana kawalan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak dibenarkan berhimpun atau berkumpul di mana-mana premis atau tempat jangkitan apa-apa maksud sama ada sosial, kebudayan atau sukan,keagamaan melainkan jika mendapat kebenaran dari Ketua Pengarah Kesihatan.

“Setelah kertas siasatan itu lengkap nanti ia akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 21(a) Akta 342 dan Peraturan 17 Akta 342 kerana mereka melakukan perlanggaran SOP PKP yang boleh dihukum kompaun.

“Jumlah kompuan itu akan ditentukan pejabat peguam negara setelah kertas siasatan dirujuk nanti,” ujarnya.-MalaysiaGazette