Home Pendapat Bahana berita palsu

Bahana berita palsu

BAHASA merupakan alat komunikasi sesama masyarakat yang mencerminkan budaya hidup sesuatu masyarakat dan merupakan pengukur keperibadian seseorang individu. Ia bukan setakat alat untuk berkomunikasi tetapi mencerminkan akhlak seseorang penutur. Bahasa yang baik dan bersopan membawa makna perilaku atau tingkah laku seseorang individu yang baik dari segi gerak-geri, tutur kata dan sikap. Pada hari ini bahasa boleh dijelmakan dalam pelbagai bentuk seperti tulisan, gambar dan isyarat yang boleh tersebar dengan pantas dalam pelbagai bentuk media sosial. Bahasa yang baik boleh memberi informasi dan manfaat kepada masyarakat. Begitu juga bahasa boleh menjadi fitnah
dan konfrontasi dalam masyarakat jika tidak menepati realiti.

Sudah menjadi tradisi Islam, ulama-ulama sufi memberi peringatan untuk menjaga lidah yang merupakan alat pertuturan. Pada hari ini masyarakat di samping menjaga lidah, mereka hendaklah menjaga jari-jemari yang merupakan alat penulisan dalam media sosial. Secara verbal mungkin masyarakat merasa berat menuturkan bahasa yang tidak baik. Sebaliknya melalui penulisan mereka bebas dan lancar menulis bagi mengungkapkan sesuatu yang tersirat dalam pemikiran mereka tanpa berfikir panjang dan merasa malu dengan tindakan tersebut. Justeru itu, media sosial menjadi wadah
bagi meluahkan perasaan dan pemikiran yang negatif.

Daripada Abu Hurairah RA berkata; pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya si Fulanah rajin solat sunat malam, puasa di siang hari, mengerjakan pelbagai kebaikan dan bersedekah. Dalam masa yang sama beliau suka mengganggu jiran-jiran dengan bahasanya?”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka”. Mereka bertanya lagi, “Sesungguhnya si Fulanah (yang lain) mengerjakan hanya solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorangpun?”. Rasulullah SAW bersabda: “Dia termasuk penghuni syurga”. (Sahih Bukhari dalam al-Adab al-Mufrod: 119) Status: Hadis Sahih.

Hadis ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya bahasa dalam menentukan seseorang itu masuk ke dalamm syurga tau neraka. Seseorang akan ditempatkan ke dalam syurga atau neraka tidak semata-mata bergantung kepada banyak atau sedikit amal fardhu dan sunat yang dilakukannya, tetapi melalui bahasa yang dituturkannya. Bahkan orang yang rajin solat sunat malam, rajin puasa sunat, banyak melakukan kebaikan dan bersedekah, dimasukkan ke dalam neraka kerana menyakitkan jiran dengan bahasanya.

Pada hari ini dosa bahasa banyak digantikan dalam bentuk tulisan yang kadang kala lebih kesat, buruk, penuh dengan tomahan, adu domba, umpatan, kejian dan fitnah lebih mudah menularkan dalam media sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Telegram dan sebagainya. Ingatlah amaran Allah kepada pengumpat, pembuat fitnah dan pencela dalam surah al-Humazah yang bermaksud: Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela. Menurut Abi Hayan dalam Tafsir al-Bahrul Muhith perkataan “Lumazah” bererti hinaan dengan isyarat mata, tangan dan sebagainya.

Bertolak dari balasan yang disebutkan ini, marilah kita sama-sama memelihara bahasa dengan tidak mengira bentuk penyampaiannya sama ada secara verbal atau tulisan. Sesungguhnya dosa bahasa lisan mungkin hanya didengar oleh beberapa orang sahaja, namun dosa tulisan berkekalan dan tersebar meluas ke seluruh dunia tanpa sempadan.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah berkata baik atau diam. Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah memuliakan jirannya. Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, hendaklah memuliakan tetamunya.” Diriwayat oleh Bukhari dan Muslim.

Hadis ini menjelaskan bahawa orang yang beriman wajib memelihara bahasanya dari mengumpat dan mencari kelemahan dan kesalahan orang lain. Begitu juga wajib menjauhkan dirinya dari membuat fitnah sama ada melalui bahasa yang dituturkannya mahupun yang berbentuk tulisan atau isyarat. Islam adalah agama rahmat kepada umatnya yang mengajar mereka untuk tidak menyalah gunakan bahasa seperti mengumpat, membuka aib, atau memfitnah orang lain. Siapa yang menutup aib
saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda: "Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat." (Sunan Ibnu Majah).

Orang yang gemar membicarakan keaiban orang lain, sebenarnya tanpa disedari beliau sedang memperlihatkan keperibadiannya sendiri. Semakin banyak aib yang disebarkan, semakin jelas keburukan diri si penyebar. Allah mengingatkan kepada golongan ini dengan firmanNya yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian). (An-Nur: 19) Berhubung dengan penjagaan bahasa, Allah memberi panduan dengan menggambarkan bahasa sebagai sepohon kayu yang subur.

Akarnya padat dan kuat mencengkam bumi dan dahannya rendang menegak ke langit serta mengeluarkan buah yang baik untuk kebaikan makluk di dunia. Firman Allah yang bermaksud: Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai sepohon yang baik, akar tunjangnya tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (Ibrahim/ 24)
Ia mengeluarkan buahnya pada setiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat. (Ibrahim/ 25)
Dan perbandingan kalimah yang buruk seperti pohon yang tidak berguna yang terjungkit akar-akarnya dari bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (Ibrahim/ 26)
Allah menetapkan pendirian orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang yang berlaku zalim; dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. (Ibrahim/ 27)

Dalam ayat ini, Allah menjelaskan betapa pentingnya bahasa dalam menyampaikan mesej. Bahasa yang baik, dapat menyemarakkan lagi kebaikan dalam kalangan masyarakat. Bahasa yang digunakan untuk berkomunikasi terutamanya dalam media sosial hendaklah bahasa yang bersopan, mempunyai makna yang jelas dan tepat dengan realiti. Bertolak dari sini, tidak dikira sebagai bersopan, sesuatu percakapan yang mempunyai bahasa kesat dan kasar, seperti maki hamun, fitnah dan sebagainya.
Perkara yang perlu terdapat dalam bahasa ialah realiti yang jujur. Ini bermakna setiap bahasa yang dituturkan itu hendaklah menepati sesuatu realiti atau fenomena yang benar dan jelas dengan hakikat yang berlaku serta memberi informasi. Peribahasa Melayu ada menyebut: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Profesor Dr. Rosni b. Samah 
Fakulti Pengajian Bahasa Utama,
Universiti Sains Islam Malaysia