SUNGAI PETANI – Polis menahan dua beradik bagi membantu siasatan bergaduh menggunakan sebilah parang di sebuah kedai bunga di Batu 2, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, bertindak atas laporan dibuat seorang lelaki pada hari kejadian. pihak polis menahan dua lelaki masing-masing berusia 29 dan 36 tahun.
Jelas beliau, hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham berkaitan hutang menyebakan dua beradik itu bergaduh.
“Kedua-dua suspek ditahan pada jam 10 malam bagi membantu siasatan, namun dibebaskan atas jaminan polis susulan faktor kesihatan.
“Siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326/506 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Adzli, orang ramai diminta tidak memanipulasikan rakaman video tersebut termasuk memuat naik di media sosial.
Terdahulu, rakaman video berdurasi tiga minit yang memaparkan insiden pergaduhan itu tular dalam Facebook.
Berdasarkan video tersebut, seorang lelaki dilihat memegang parang sambil memecahkan barang di dalam kedai bunga berkenaan. – MalaysiaGazette