Home Nasional Empat ahli DAP P. Pinang didakwa pecah amanah, salah guna kuasa –...

Empat ahli DAP P. Pinang didakwa pecah amanah, salah guna kuasa – NGO

Ahli DAP seumur hidup, Pergasan (tengah) bersama wakil NGO Karunai Oviyam menyerahkan dokumen berhubung pecah amanah empat ahli DAP Pulau Pinang di SPRM negeri di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Empat ahli DAP Pulau Pinang termasuk dua pemimpin tempatan didakwa terlibat dalam kes salah guna kuasa serta pecah amanah wang di negeri tersebut.

Dakwaan itu dibuat ahli DAP seumur hidup serta wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Karunai Oviyam yang tampil untuk menyerahkan dokumen berhubung penglibatan empat individu berkenaan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah hari ini.

Wakil Karunai Oviyam, S. Jegadish berkata, kempat-empat individu yang dimaksudkannya itu terdiri daripada dua pemimpin kerajaan negeri manakala dua lagi pihak berkuasa tempatan.

Jegadish.

Jelas Jegadish, berdasarkan bukti yang diperoleh menunjukkan empat pemimpin DAP itu terlibat dalam kegiatan pecah amanah serta salah guna kuasa sejak tahun 2018 membabitkan nilai lebih RM1 juta.

“Mereka juga dikatakan menggunakan kedudukan untuk kepentingan sendiri dengan memberikan kontrak kepada ahli keluarga tanpa melalui kaedah menerusi tender terbuka.

“Sudah dua kali kami buat aduan kepada pihak SPRM iaitu Mac tahun lalu di Putrajaya dan Julai di sini (SPRM negeri) namun tiada maklum balas selain mereka asyik memberi alasan pegawai cuti serta siasatan masih dijalankan.

“Jadi hari ini kami tampil bersama media untuk menunjukkan penyerahan dokumen, resit serta bukti-bukti berkaitan dakwaan ini telah diberikan kepada pihak SPRM sekali gus meminta mereka segerakan siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, ahli DAP seumur hidup, S. Pergasan mengesa pihak SPRM menjalankan siasatan segera agar tindakan penyelewangan yang dilakukan mereka ini dapat dihentikan.

Pergasan.

Dia yang juga ahli DAP cawangan Perai, kegagalan SPRM mempercepatkan siasatan kes ini akan menyebabkan lebih banyak penyelewangan, salah guna kuasa serta pecah amanah berlaku di negeri itu.

“Sebagai ahli DAP seumur hidup, saya juga mahu tindakan tegas diambil termasuk pecat keahlian terhadap mereka yang terlibat demi menjaga nama baik parti.

“Kita mahu DAP buktikan mereka bersih seperti mana yang diperjuangkan selama ini.

“Terpulang pada DAP jika mahu pecat saya susulan mendedahkan kegiatan mereka ini,” tegas Pergasan. – MalaysiaGazette