Home Nasional Gobind mahu penjelasan isu batal Ordinan Darurat

Gobind mahu penjelasan isu batal Ordinan Darurat

Gobind
Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR – Sesi hari kedua sidang khas Parlimen masih lagi hangat mengenai pembatalan enam Ordinan Darurat oleh kerajaan.

Sebelum sesi aturan urusan mesyuarat dimulakan, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (DAP) bangun mempersoalkan tindakan kerajaan membatalkan ordinan itu tanpa memberitahu kepada Dewan Rakyat.

“Ada kenyataan dari Menteri Undang-Undang bahawa Kabinet telah membuat satu keputusan pada 21 Julai untuk membatalkan Ordinan Darurat.

“Semalam, kita dengar menteri kata keputusan dibatalkan oleh Kabinet, kita nak tahu adakah apa yang berlaku pada 21 Julai diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong?

“Adakah ianya mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Saya minta perkara ini dijawab kerana apa yang kita ada adalah penerangan mengenai ordinan-ordinan yang telah digubal melalui Proklamasi Darurat,” katanya di awal sesi pagi ini.

Perkara itu juga mendapat perhatian Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, selaku Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, dirinya berada dalam situasi pelik tentang pembatalan enam ordinan darurat tersebut.

Bagaimanapun katanya, atas dasar demokrasi berparlimen, beliau akan akur mengenainya.

“Memandangkan kita adalah sistem demokrasi berparlimen, saya dimaklumkan oleh Yang Dipertuan bahawa Menteri Undang-Undang akan memberikan penerangan dan jawapan pada Isnin depan.

“Itu yang akan dijawab oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette