Home Nasional KPDNHEP kompaun 10 premis, Hishammuddin komited teruskan tugas Ismail Sabri

KPDNHEP kompaun 10 premis, Hishammuddin komited teruskan tugas Ismail Sabri

Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 premis terdiri daripada peruncit, pemborong dan pengilang dikompaun pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP), semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia hasil daripada 812 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada 624 peruncit, 156 pemborong dan 32 pengilang.

“KPDNHEP juga telah melakukan 2,039 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, 2,028 premis mematuhi SOP manakala 10 premis dikompaun.

“Pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Luar berkata, mulai hari ini, beliau melakukan sidang media atau mengeluarkan kenyataan media harian berkaitan Task Force Operasi Pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta 342 di seluruh negara.

“Selaku Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), saya juga akan menerima serta memaklumkan laporan mengenai pematuhan SOP, kawalan sempadan negara serta perkara-perkara lain daripada setiap agensi yang terlibat.

“Ia penting bagi memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia tentang situasi semasa keselamatan khususnya dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini,” katanya.

Hishamuddin turut menyatakan komitmennya untuk meneruskan usaha yang telah dimulakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

“Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih khususnya kepada YAB Datuk Seri Ismail Sabri sepanjang beliau melaksanakan tugasan tersebut sejak 20 Mac 2020.

“InsyaAllah, saya akan teruskan penugasan ini dengan sebaiknya,” katanya. – MalaysiaGazette