Home Nasional Lucut hak: Najib, Rosmah belum periksa 11,991 unit barang kemas

Lucut hak: Najib, Rosmah belum periksa 11,991 unit barang kemas

Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Barangan kemas yang disita dari premis Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences pada Mei 2018 masih lagi belum diperiksa oleh Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Pemilik syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan, Samer Halimeh juga masih belum dapat memeriksa 11,991 unit barang kemas yang kini disimpan dalam lebih 90 kotak di bilik kebal Bank Negara Malaysia (BNM).

Najib, Rosmah dan Global Royalty adalah pihak ketiga ingin menuntut barang kemas dalam permohonan lucut hak difailkan pendakwaan terhadap Obyu Holdings yang dimiliki Tan Sri Bustari Yusof.

Sebelum itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 12 hingga 15 Julai ini bagi membolehkan pihak-pihak memeriksa barangan kemas namun ia terpaksa ditangguh memandangkan pelaksanaan Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin, mahkamah kemudian menetapkan 2 hingga 5 Ogos ini namun ia juga masih tidak dapat dijalankan memandangkan Fasa Satu PPN dan Samer yang kini berada di United Kingdom.

“Pendakwaan telah mencadangkan pemeriksaan fizikal selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan kebenaran melakukan aktiviti berkumpulan di tempat tertutup, ini juga mengambil kira perkembangan semasa seperti risiko penyebaran wabak Covid-19.

“Ini juga kerana risiko penyebaran wabak itu adalah tinggi kerana keadaan bilik kebal BNM yang tertutup dan pemeriksaan barang kemas akan membabitkan ramai orang.

“Ini juga bukan untuk pihak ketiga sahaja (Najib, Rosmah, Global Royalty) sebaliknya pihak polis yang turut berada di sana,” katanya kepada media selepas sesi prosiding secara Zoom di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi,  Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Sebahagian pasukan anggota polis yang bertugas membawa barang-barang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang dirampas untuk membantu siasatan berkenaan kes 1MDB ke dalam trak polis di Pavillion Residence, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2018

Pada 25 Julai lepas, Najib serta Rosmah sudah memeriksa sebanyak 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.

Namun Samer tidak dapat melakukan demikian memandangkan sempadan Malaysia ditutup selepas usaha negara menangani pandemik.

Sebelum ini pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings bagi menyita pelbagai barangan termasuk 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 cermin mata.

Selain itu, sebanyak 306 beg tangan serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44 pada tahun 2019.

Wang dan barang kemas itu dirampas pihak berkuasa kerana didakwa terbabit skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang perbicaraannya sedang berlangsung ketika ini. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kenapa ssh sgt nk bagi periksa brg² tu, klu takut hilang apakata buat LIVE semasa pemeriksaan dilakukan. Gunakan seberapa banyak kamera dr pelbagai sudut klu takut sgt..apa kerajaan ingat DS NAJIB dgn DS ROSMAH tu pencuri ke…Bangang betul la kerajaan yg ada skrg ni.

Comments are closed.