Home Seni Hidup Shuib, Siti Sarah dijangkiti Covid-19

Shuib, Siti Sarah dijangkiti Covid-19

Foto Instagram Siti Sarah.

KUALA LUMPUR – Pasangan selebriti popular, Siti Sarah dan suaminya, Shuib Sepahtu serta tiga cahaya mata disahkan positif Covid-19, semalam.

Berita itu dimaklumkan penyanyi lagu Semakin itu menerusi laman Instagram (IG) tengah hari ini.

Siti Sarah dan keluarganya menjalani ujian saringan Covid-19 selepas pembantu rumah disahkan dijangkiti pandemik berkenaan pada Ahad lalu.

“Dukacita dimaklumkan, kami sekeluarga positif Covid-19. Ini semua ketentuan Allah. Kami menerima dengan hati yang terbuka dan lapang dada.

“Saya mohon semua mendoakan kami sekeluarga mengharungi kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari ini. Kami serahkan semuanya kepada Allah,” tulisnya.

Siti Sarah yang kini hamil tujuh bulan tidak dapat menyembunyikan kerisauan terhadap bayi dalam kandungannya.

“Saya dan keluarga nak kekal positif dan melihat apa terjadi sebagai satu hikmah. Doakan kami segera sembuh,” katanya.

Dalam pada itu, Siti Sarah juga memaklumkan segala urusan perniagaan berjalan biasa dan dikongsi dalam IG.

“Untuk mengelak salah faham, saya mahu menjelaskan. Segala urusan perniagaan dan perkara lain akan dimuat naik di laman IG serta diuruskan oleh kakitangan,” katanya.

Siti Sarah dan Shuib mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.

Menerusi perkahwinan, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – MalaysiaGazette