PETALING JAYA – Kegiatan licik penuntut kolej swasta Timur Tengah yang mendalangi sindiket mengedar dadah di sekitar Sungai Way dan Damansara di sini akhirnya dilumpuhkan polis.
Polis berjaya menahan lima lelaki warga asing berstatus penuntut kolej di negara ini dan seorang pengganggur warga tempatan berusia 20 hingga 34 tahun dalam dua serbuan berasingan di sebuah pangsapuri Sungai Way dan di Persiaran Golf di Shah Alam pada 22 hingga 23 Julai lalu.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata, hasil serbuan itu di rumah yang diduduki suspek berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 11.5 kilogram dianggarkan bernilai RM34,731.
Menurutnya, suspek akan menjual dadah berkenaan dalam paket kecil dengan nilai RM100 untuk tiga gram kepada pelanggan mereka yang majoritinya rakan kolej warga asing.
“Siasatan mendapati suspek hanya akan menjual dadah berkenaan kepada pelanggan yang dikenali secara bersemuka untuk elak kegiatan mereka terbongkar dan dikesan polis.
“Suspek menjadikan penuntut kolej warga asing sekitar Sungai Way dan Damansara sebagai pelanggan tetap dan segala urusan jualan dadah dilakukan secara tunai sahaja,” katanya dalam sidang media kejayaan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya hari ini.
Tambah Mohamad Fahkrudin, modus operandi sindiket penuntut itu adalah suspek akan mendapatkan bekalan ganja daripada seorang individu lain sebelum menyimpan di pangsapuri mereka dan memproses serta membungkus barang terlarang itu untuk tujuan penjualan.
Ujarnya, suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan haram di sisi undang-undang itu sejak empat bulan hingga setahun yang lalu dan kesemua suspek asing itu adalah pelajar tahun keempat pengajian pengurusan dan Teknologi Maklumat yang mempunyai Visa Pelajar yang masih sah laku.
“Justeru polis juga berjaya merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk aktiviti pembungkusan dadah di pangsapuri berkenaan selain tiga buah kereta yang digunakan untuk kegiatan ini.
“Dadah yang dirampas dari suspek juga dianggarkan boleh dibekalkan kepada kegunaan 11,577 penagih dadah yang kesemuanya adalah penuntut kolej,” katanya.
Kesemua suspek kini sudah direman selama tujuh hari dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette